SEREMBAN: Beberapa program ijazah akan dilaksana di 32 buah politeknik di seluruh negara dengan kerjasama universiti tempatan mulai tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Mejar (K) Md Nor Yusof.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada langkah strategik untuk memperkasa lulusan diploma politeknik.
"InsyaAllah, tahun depan kita akan mulakan program berkembar dengan Universiti Teknologi MARA. Untuk itu kita akan memberi pendedahan kepada pegawai kita dalam melaksanakan program ijazah di politeknik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Transformasi Modal Insan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) di sini, hari ini.

Md Nor berkata, di peringkat kolej komuniti pula, pihaknya akan melaksana 'diploma pembelajaran berasaskan kerja' tahun depan di 81 buah kolej komuniti di seluruh negara.

"Program diploma ini dibuat dengan kerjasama industri. Jadi kita akan cari rakan industri. Pembelajaran pelajar ialah lebih di industri.

"Apabila pelajar selesai dengan program ini, peluang mereka untuk diserap terus dalam bidang pekerjaan sangat tinggi. Buat masa ini kita sudah mengenal pasti industri minyak dan gas di Miri, Sarawak untuk kolaborasi dengan kita," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kebolehpasaran pekerjaan lulusan politeknik tahun lalu adalah sekitar 71 peratus dan disasarkan 85 peratus tahun ini.
"Untuk itu, kita berusaha ke arah itu dengan mengadakan pelbagai program kebolehpasaran pekerjaan. Selain daripada memperkasakan kurikulum, kita akan memperkasa penyampaian di dalam bilik kuliah dan kolaborasi dengan industri supaya pelajar kita sama ada di politeknik atau pun kolej komuniti menjadi rebutan majikan," katanya.

Md Nor berkata, permintaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk mengikuti pengajian di politeknik dan kolej komuniti memang tinggi dan tahun ini lebih 100,000 yang memohon, namun tempatnya terhad.

Mengenai pelancaran buku itu, beliau berkata, ia dirangka untuk membantu warga kerja politeknik dan kolej komuniti merencana pembangunan kerjaya mereka.

Kini, terdapat kira-kira 14,000 PPPT di Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengajian Politeknik dan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti. - BERNAMA