Projek inovasi   enjin gas LPG tingkat industri Penggunaan gas LPG membantu memelihara alam sekitar berikutan tidak mengeluarkan asap bertoksid selain mengurangkan beban subsidi kerajaan.
Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menerajui industri perikanan negara, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sentiasa peka dengan kehendak semasa dan melaksanakan pelbagai usaha meningkatkan pencapaian mereka yang terbabit dalam industri ini, khususnya nelayan.

Justeru, seiring perisytiharan 2012 sebagai tahun inovasi negara dan slogan ‘Perikanan Produktif Menjana Transformasi’, jabatan ini memperkenalkan beberapa inovasi baru dalam industri perikanan negara.
Projek inovasi yang mendapat perhatian ialah enjin sangkut menggunakan gas LPG memberi manfaat kepada nelayan terutama nelayan kecil yang menggunakan sampan kerana menjimatkan dan mengurangkan kebergantungan ke atas bahan petrol.


Di Malaysia, terdapat lebih 30,000 vesel yang mana 18,000 daripadanya adalah sampan enjin sangkut (out-board engine) menggunakan petrol sebagai bahan bakar.

Nelayan yang menggunakan sampan adalah nelayan kecil dan harga petrol yang semakin meningkat amat membebankan mereka manakala kerajaan terpaksa memberikan subsidi tambahan ke atas petrol yang digunakan oleh nelayan bagi mengurangkan bebanan mereka.

Kurangkan kos, pencemaran

Sebelum terhasilnya inovasi ini, belum ada vesel perikanan di Malaysia menggunakan gas LPG sebagai bahan api kerana petrol dan diesel adalah bahan api utama. Penggunaan gas sebagai bahan api adalah satu alternatif untuk mengurangkan kos dan mengurangkan pencemaran udara.
Maka inovasi dihasilkan untuk kegunaan vesel kecil perikanan atau sampan bagi mengurangkan kebergantungan ke atas petrol sebagai bahan api. Inovasi ini dihasilkan FRI Kampung Acheh di Kompleks Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan dan Pusat Pengembangan Perikanan Manjung (PPP-Manjung) dengan kerjasama Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut dan Bahagian Kejuruteraan DOF.

Berbanding penggunaan petrol, gas LPG sebagai bahan api menggantikan petrol adalah mesra pengguna kerana mudah diperoleh dan harganya murah di samping mesra alam iaitu tidak mengeluarkan asap bertoksid serta mengurangkan beban kerajaan daripada menanggung subsidi petrol. Enjin sangkut menggunakan bahan api LPG adalah inovasi teknologi hijau mesra pengguna.

Di daratan terdapat kemudahan untuk menggunakan gas NGV (Natural Gas Vehicle) menggantikan petrol. Sehingga kini masih belum terdapat kemudahan seumpama ini untuk kegunaan vesel penangkapan ikan.

Penggunaan gas sebagai bahan api adalah salah satu alternatif untuk mengurangkan kos dan mengurangkan pencemaran udara. Di Malaysia, kerajaan mempromosikan penggunaan gas NGV untuk enjin kenderaan di daratan. Tetapi kemudahan gas NGV sukar diadakan di pangkalan perikanan, ia tidak praktikal bagi kegunaan vesel perikanan.

Kos pengubahsuaian enjin untuk menggunakan gas NGV juga adalah tinggi iaitu lebih RM2,000 dan tidak mampu dibiayai nelayan kecil. Tangki gas NGV juga berat iaitu 70 kilogram seunit dan menggunakan ruang luas tidak sesuai dipasang di atas sampan.

Kos minimum, mampu milik

Pengubahsuaian dan pemasangan enjin LPG adalah pada kos minimum dan mampu dimiliki nelayan kecil iaitu kurang RM1,000.

Pada masa depan, pasukan inovasi ini bercadang untuk bekerjasama dengan pihak swasta yang berminat untuk menghasilkan aksesori khusus untuk enjin gas LPG yang sesuai untuk kegunaan di laut.

Ternyata sepanjang 2012, DOF yang diterajui Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood mencatatkan kejayaan membanggakan selain mengadakan kerjasama penyelidikan dengan beberapa pihak termasuk Sirim Berhad.

DOF menganjurkan Bengkel Standard Kualiti Malaysian Gold Arowana bertujuan memberi penerangan mengenai Standard Spesifikasi Ikan Kelisa Emas Malaysia yang dibangunkan. Standard dikenali sebagai DOF STAN 1:2012 adalah langkah awal memartabatkan ikan arowana emas sebagai warisan negara.