Tasek Gelugor: Projek ladang Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini, akan dibangunkan menjadi pusat pertumbuhan pertanian moden berteknologi tinggi untuk penyelidikan dan pendidikan agroteknologi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata ia bagi membolehkan usahawan tani meningkatkan serta menyumbang kepada pengeluaran makanan bermutu.
Konsep mesra alam


Bagi memastikan projek berkenaan mencapai sasarannya, beliau berkata, Jabatan Pertanian melaksanakan Amalan Pertanian Baik (APB) melalui pensijilan Skim Akreditasi Ladang Malaysia, yang dirangka bagi memberi pengiktirafan kepada ladang mengamalkan APB berkonsepkan mesra alam, selain menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja.

“Tujuan utama kerajaan mewujudkan TKPM ini untuk mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian bagi pengeluaran dan aktiviti hiliran serta memaksimumkan produktiviti melalui APB.

“Bagaimanapun, dengan adanya penyelidikan dan pendidikan agroteknologi di sini nanti diharap dapat meningkatkan kualiti produk seterusnya pendapatan usahawan,” katanya selepas merasmikan Hari Ladang TKPM Ara Kuda dan majlis penyerahan peruntukan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Tasek Gelugor kepada 34 penerima di TKPM Ara Kuda, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Pulau Pinang, Ahmad Munir Yusoff dan Pegawai Pertanian Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Shahbani Ismail.
TKPM Ara Kuda adalah satu daripada 55 TKPM yang diwujudkan di seluruh negara pada 2008 dan mengusahakan tiga kategori tanaman iaitu buah-buahan, sayur-sayuran serta tanaman lain.

Pengeluaran meningkat

Tahun lalu, TKPM Ara Kuda berjaya memperoleh sejumlah RM2.5 juta hasil pengeluaran bagi semua jenis produk, meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu RM2.2 juta.

Berikutan itu, Jabatan Pertanian menyasar memperoleh hasil pengeluaran sebanyak RM2.7 juta tahun ini berdasarkan peningkatan yang ditunjukkan sejak dua tahun lalu melalui APB.

Sementara itu, Shahbani berkata, selain pusat pengeluaran produk pertanian, TKPM Ara Kuda turut menjadi pusat penyelidikan bagi pelajar institusi pengajian tinggi yang mahu melihat cara pertanian dilaksanakan.

Malah, ada antara mereka yang menjalani latihan praktikal di situ dengan bimbingan pegawai bertugas.