Punca botak

Punca botak

Oleh Saadiah Ismail
saadiah@bharian.com.my
2012/04/12

Masalah hormon, tekanan rutin seharian ‘kikis’ rambut

KECANTIKAN fizikal bukan saja dinilai daripada rupa paras yang mampu menyejukkan mata memandang, tetapi faktor lain juga perlu diambil berat kerana menjadi pelengkap kepada kecantikan yang diidamkan. Jika bahagian wajah saja dibelai, tetapi susuk badan diabaikan pun tidak berguna juga.

Selain itu, rambut yang sering dikaitkan sebagai mahkota buat wanita, namun tidak ketinggalan lelaki juga. Ia perlu diberi perhatian kerana menjadi lambang kepada penampilan kemas dan pembersih. Bayangkan jika rambut anda kusut masai, dipenuhi dengan kelemumur, gugur sana sini dan sebagainya, apakah pandangan orang yang ingin menjalankan urusan dengan anda?

Secara puratanya, setiap orang perlu mempunyai kira-kira 100,000 helai rambut iaitu dalam satu liang sekurang-kurangnya mempunyai tiga hingga lima helai rambut. Selain itu, di seluruh badan pula, sekurang-kurangnya lima bilion.

Justeru, sempena 38 tahun penubuhan pakar penjagaan rambut 101 Hair Care komited untuk membantu pelanggan menjaga, menyubur dan berkongsi masalah kritikal sehingga mengakibatkan keguguran serius menerusi penganjuran kempen Grow and Prosper 38, yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Pakar Penjagaan Rambut 101, Fanny Ling, berkata beberapa dekad yang lalu, kehilangan rambut yang teruk dianggap sebagai masalah lelaki, namun dalam senario sekarang, kes ini semakin meningkat terutama sekali di kalangan wanita dan kanak-kanak.

Wanita menjadi botak pada kadar yang lebih cepat daripada lelaki disebabkan hormon yang tidak seimbang terutama selepas melahirkan anak serta akibat tekanan di tempat kerja mahupun di rumah. Lebih memeranjatkan, orang yang lebih muda termasuk kanak-kanak juga mengalami masalah ini disebabkan oleh faktor genetik dan perubahan gaya hidup.

“Bayangkan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah mengalaminya, manakala di kalangan remaja pula, mereka menghadapi kehilangan rambut pra matang. Bagaimana untuk mereka mendapatkan rambut yang sihat tanpa sebarang masalah yang serius,” katanya ketika ditemui pada majlis Kempen Perangi Rambut Gugur, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengarah 101 Hair Care, Ricky Thye dan selebriti seperti Serina Redzuawan, Cassandra Patrick dan Arthur Tan yang diundang untuk berkongsi tentang masalah rambut yang dialami.

Kempen itu antara lainnya, menyediakan perkhidmatan analisis rambut dan kulit kepala percuma, sesi aromaterapi, aktiviti menyeronokkan dan rundingan pendidikan. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap masalah dan rawatan rambut dikalangan masyarakat yang selama ini berdepan dengan pelbagai isu rambut.
Fanny berkata, apa yang penting ialah kebersihan dan penjagaan rambut berdasarkan masalah yang dihadapi.
Rambut boleh gugur disebabkan oleh salah pemilihan dan kecuaian diri sendiri ketika menggunakan syampu. Kebiasaannya orang akan terus syampu rambut, tetapi ia salah kerana mereka seharusnya campur dengan air terlebih dulu sehingga menjadi buih kerana pH dengan kulit kepala tidak sama.

“Selain itu, mereka perlu menggunakan teknik yang tepat iaitu menyapu daripada belakang kerana jika dari hadapan, ia akan membuatkan rambut anda senang gugur. Urutan kepala menggunakan jari bukan kuku juga sangat digalakkan.

“Bagi wanita bertudung khasnya, apa yang boleh dilakukan ialah dengan menjaga kebersihan diri sendiri, selalu tukar skaf, lap anak rambut yang basah sebelum memakai tudung dan sebagainya. Hama Demodex yang wujud boleh menjadikan kulit kepala sebagai tapak untuk membiak dengan lebih besar lagi dan bertelur di dalam folikel rambut. Ia mencuri nutrien dan mengeluarkan enzim tidak baik,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan penggunaan pelembap rambut dengan cara yang salah. Ada sesetengahnya menyapu di bahagian kulit kepala hingga mengganggu pertumbuhan rambut baru yang tidak memerlukan penjagaan teliti dan menyekat oksigen di kulit kepala. Sepatutnya ia disapu di bahagian hujung rambut.

Fanny berkata, seelok-eloknya gunakan pelembap semula jadi berbanding kimia kerana ia tidak memberi kesan rambut berminyak. Lelaki tidak digalakkan untuk aplikasikannya berbanding perempuan kerana mereka mempunyai rambut yang panjang.

Beliau turut menjelaskan beberapa masalah rambut yang sememangnya sudah wujud lama, tetapi akibat leka dan tidak ada tindakan selanjutnya, ia menjadi semakin parah saban hari.

Antaranya ialah Alopecia Areata yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Ia adalah tompok botak di kepala. Saintis percaya ia adalah disebabkan oleh kerosakan folikel. Selain itu, sistem auto imun iaitu sesetengah sel darah putih dikenali sebagai sel-T tidak dapat mengenali sel di dalam badan sendiri.

“Ia juga boleh terjadi akibat kecenderungan genetik. Keadaan ini biasa dialami oleh kanak-kanak Asia yang berambut hitam tanpa mengira jantina. Secara puratanya ia boleh pulih dalam tempoh kurang setahun menerusi rawatan yang betul, namun bagi yang menghadapi keguguran rambut kurang daripada usia lima tahun, mungkin agak sukar sedikit disebabkan oleh kecacatan folikel yang rendah,” katanya.

Selain itu, bagi wanita dewasa pula, mereka akan mengalami botak di kepala yang tidak mudah dikenali berbanding lelaki. Ia disebabkan oleh tekanan kerja yang berlebihan, ketidakseimbangan hormon, pemakanan tidak seimbang, rawatan rambut kimia yang kerap dan selepas melahirkan anak. Bagi lelaki pula, ia boleh disebabkan oleh keturunan dan juga gaya hidup yang tidak sihat.

“Satu lagi masalah yang boleh berlaku ialah keguguran rambut pramatang seawal usia 15 tahun. Ia adalah perkara biasa jika keguguran rambut kira-kira 30 helai sehari kerana rambut baru akan terhasil. Tetapi kes ini akan menjadi lebih serius apabila rambut gugur lebih banyak daripada rambut yang akan tumbuh dan ia tidak akan berganti dengan rambut baru atau rambut baru tumbuh pada kadar yang lambat,” katanya.

Tambahnya, mengapa perkara ini terjadi ke atas remaja kerana tekanan, hormon yang berubah-ubah, diet dan gaya hidup yang teruk, tidur yang lambat hingga menjejaskan sistem detoksifikasi semulajadi badan, penggunaan produk kimia dan keturunan.

INFO

Gejala Alopecia Areata


*Kesan botak di kulit kepala lebih daripada dua inci diameter
*Akar rambut yang longgar
*Kulit kepala lembut apabila disentuh disebabkan oleh edema (takungan air)
*Sakit di kawasan terjejas

Jenis kulit kepala mudah terkena Demodex

*Radang kulit kepala
*Jerawat pada kulit kepala
*Kulit kepala gatal, sensitif dan berminyak
*Akar rambut yang lemah

Simptom lelaki botak

*Rambur gugur berlebihan secara drastik
*Pengeluaran minyak berlebihan pada kulit kepala
*Kadang-kadang ada rasa gatal dan tidak
*Kepingan kelemumur yang berlebihan

Tip

Elak keguguran rambut wanita selepas bersalin


*Mengamalkan kebersihan diri
*Elakkan menggunakan tekanan di kulit kepala
*Urutan kulit kepala
*Seimbangkan diet dan nutrien
*Gembira dan berfikiran positif

Rambut sihat

*Mengetahui masalah rambut
*Pilih syampu yang bersesuaian
*Cuci sekali sehari terutama pada waktu petang
*Jika masalah berterusan, jumpa pakar.