KOMPLEKS Hab Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) PETRONAS di Pengerang akan menawarkan 40,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh lima tahun pembangunannya yang dijangka bermula pertengahan tahun depan.

Apabila projek membabitkan pelaburan kira-kira RM60 bilion itu siap dan beroperasi menjelang akhir 2016 pula, ia akan menempatkan kira-kira 4,000 kakitangan tetap.
Pengarah Eksekutif Projek RAPID, Wan Yusof Wan Hamat, berkata RAPID bukan saja akan merangsang pertumbuhan ekonomi negara, malah bakal mengubah kehidupan penduduk sekitar kawasan Pengerang.


“Selain melahirkan tenaga mahir tempatan dan menarik kemasukan pelabur, kehadiran sejumlah besar tenaga kerja bagi menjayakan projek itu bakal membawa limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor perkhidmatan, yang boleh dimanfaatkan penduduk dan syarikat tempatan.

“Pembangunan yang dirancang PETRONAS di Pengerang ini adalah pada skala lebih besar daripada yang sudah dilaksanakan di Tangga Batu, Melaka; Kerteh, Terengganu atau Gebeng, Pahang. Ia bakal menjadi hab petrokimia terbesar di Asia Pasifik,” katanya pada taklimat media di Kota Iskandar dekat Nusajaya, semalam.

Turut hadir Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor, Elias Hassan dan Ketua Eksekutif Johor Gas & Oil Unit (JOGU), Mohd Yazid Jaafar serta Pengurus MedKom Johor, Saodi Md Atar.

RAPID yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Mei tahun lalu akan dibangunkan di kawasan seluas 2,400 hektar yang turut membabitkan tanah milik penduduk setempat yang akan dipindahkan ke lokasi baru yang sedang dibangunkan.
Wan Yusof berkata, pembangunan fizikal projek terbabit di kawasan yang dirancang itu hanya akan bermula pertengahan tahun depan selepas pengurusan PETRONAS menilai Keputusan Akhir Pelaburan (FID) RM60 bilion yang akan dilaksanakan di situ.

“Ketika ini, kajian topografi dan penyiasatan tanah serta keupayaan projek sudah disiapkan. Selain BSAF, Petronas sedang mengenal pasti sehingga 10 rakan kongsi terdiri syarikat petrokimia terkemuka dunia bagi mempercepatkan pembangunan dirancang.

“Bagaimanapun penduduk Pengerang tidak perlu bimbang terhadap sebarang kesan negatif terhadap alam sekitar kerana PETRONAS mempunyai rekod yang baik dalam mematuhi tahap piawaian yang ketat,” katanya.

Beliau menegaskan, PETRONAS sentiasa mengutamakan aspek penjagaan alam sekitar dalam setiap projeknya di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Mohd Yazid berkata, pihaknya sudah membuka sebuah Pusat Maklumat Pengerang bagi memudahkan orang ramai khususnya penduduk setempat termasuk yang terbabit dengan pengambilan balik tanah, mendapatkan pelbagai maklumat mengenai pembangunan yang dirancang di situ bagi mengelak sebarang salah faham.

Elias pula berkata, kerajaan negeri kini sedang menyiapkan pelan induk pembangunan menyeluruh membabitkan kawasan tanah seluas 8,800 hektar di sekitar Pengerang dengan menjadikan RAPID sebagai katalisnya menerusi rancangan yang mengambil masa selama 30 tahun.