RAMLI Sarip dan Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad (kanan) ketika di sidang media, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee
Konsert ini adalah sebahagian daripada penganjuran Karnival 20 Tahun IKIM yang diadakan bermula 13 hingga 15 Julai di perkarangan IKIM dan juga bagi meraikan 11 tahun penubuhan stesen radio IKIMfm, selain simbolik penghargaan dan terima kasih badan berkenaan serta radio itu terbabit kepada masyarakat yang terus menyokong usaha IKIMfm hingga berjaya berada pada kedudukan 10 radio terbaik di Malaysia.
"Kami yakin, Ramli Sarip dan Iwan mempunyai aura tersendiri untuk menarik peminat mereka. Lagipun Ramli sendiri mempunyai banyak lagu berentak ketuhanan dan kerohanian popular yang juga banyak dimainkan di IKIMfm. Begitu juga Iwan selepas penghijrahannya banyak mengeluarkan lagu berkonsep ketuhanan. Jadi, kami rasakan banyak pengalaman dan perjalanan hidup yang dapat dikongsi bersama dengan penonton nanti.
"Konsert ini diadakan secara percuma dan kami mengharapkan pendengar IKIMfm dan peminat kedua-dua penyanyi ini untuk memenuhkan Dewan Besar IKIM yang dapat memuatkan 300 orang. Namun pihak IKIMfm menyediakan skrin besar di luar dewan untuk menampung kehadiran orang ramai," katanya.
Persembahan akustik
Sementara itu, Ramli yang ditemui berkata, dia akan menghiburkan penonton dengan 10 barisan lagu yang akan dipersembahkan secara akustik.
"Persembahan akustik tentunya lebih dekat kepada penonton kerana muziknya yang bersifat mendalam dan penonton dapat menghayati setiap bait lirik lagu yang akan disampaikan nanti. Saya akan sampaikan lagu antaranya Bukan Kerana Nama, Kau Yang Satu, Nyanyian Serambi, Kekasihku dan Adam Dan Hawa kerana bagi saya, lagu yang akan dipersembahkan ini mempunyai mesej, cerita dan pengalaman berbeza. Saya juga akan berkongsi dengan penonton kisah di sebalik lagu yang disampaikan nanti," katanya.
Sementara itu, Iwan pula akan menyampaikan lima lagu ketuhanan seperti Semua Allah Yang Punya, Fadilat Selawat, Solatlah Dulu, Kalimah Toyyibah dan Segalanya Allah.
Selain itu, sempena Karnival 20 Tahun IKIM juga pelbagai program dan aktiviti diaturkan untuk karnival tiga hari bermula 13 hingga 15 Julai nanti antaranya pertandingan mewarna, persembahan Malaysian Drum Symphony, Demo Memasak, Persembahan Bersama Deevotees, UNIC dan banyak lagi.