Semangat harus julang Kien Keat-Boon Heong

Andai berpandu kepada kekuatan semasa juara dunia dari China, Cai Yun-Fu Haifeng jelas sukar bagi pasangan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk melangkah ke final beregu lelaki.
Namun, pada detik genting ini statistik tidak lagi menjadi ukuran sebenar sebaliknya siapa lebih baik menggalas tekanan, tambahan semangat untuk memburu pingat emas boleh mengatasi segala-galanya.


Jadi, dalam saingan separuh akhir hari ini perwatakan kedua-dua pemain berpengalaman ini menjadi penentu khususnya Kien Keat yang kerap dilabel pengkritik tanah air sebagai punca kekalahan beregu emas Malaysia di pentas besar dunia sebelum ini.

"Saya sentiasa diajukan persoalan kenapa kami tidak dapat beraksi seperti 2006 (emas Sukan Asia Doha) dan 2007 (juara Seluruh England)," kata pemain berusia 27 tahun dari Perak itu.

"Tapi secara ikhlas saya banyak menyoal diri ketika latihan di Bath, baru-baru ini. Saya melihat di YouTube secara berulang kali persembahan saya pada tahun berkenaan dan mahu melihat apakah perbezaan ketika itu.

"Selepas merenung saya membuat keputusan sendiri...saya mahu bermain cara sendiri dan tidak lagi boleh bermain apa orang lain tuntut. Inilah apa yang saya sedang lakukan di Olimpik kali ini."
Perwatakannya dengan Boon Heong pula berbeza yang lebih memilih untuk berdiam diri dan kurang bercakap. Tapi selepas layak ke separuh akhir dia memberi wajah yang berlainan dengan kata-kata lebih bersemangat.

"Sekarang kami ada dua lagi langkah sebelum dapat pingat emas. Semuanya berjalan baik untuk kami berdua. Komunikasi antara saya dan Koo juga bertambah baik ketika ini," katanya yang dalam diam-diam mengidam emas di London buat menghiasi kerjaya badminton.