Sukan
Rexy selamat tapi kian tertekan
Oleh Lukman Salleh
2010/03/12
Kena jawab selepas Kien Keat-Boon Heong, Pei Tty-Eei Hui kecundangKEDUDUKAN Rexy Mainaky selaku ketua jurulatih beregu masih selamat di sebalik persembahan memalukan anak didiknya pada kejohanan badminton Seluruh England yang menyaksikan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty tersingkir di pusingan pertama.
Namun begitu, persembahan terburuk beregu kebangsaan pada kejohanan edisi ke-100 itu pastinya akan menambah lebih tekanan ke atas jurulatih dari Indonesia itu, yang diberi kata kedua untuk menunjukkan hasil atau berdepan penyingkiran selepas Piala Thomas, Mei ini.
Dengan ujian pertama di Seluruh England dilalui dengan begitu buruk sekali, Rexy kini perlu segera memulihkan keyakinan peminat di atas keupayaan Malaysia untuk menghadapi Piala Thomas, kerana jika kejohanan di Birmingham dijadikan ukuran, skuad kebangsaan boleh melupakan niat menjulang trofi berprestij itu.
“Presiden BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sudah menyatakan bahawa semua kedudukan akan kekal sehingga sekurang-kurangnya Piala Thomas, Mei ini,” kata Setiausaha Kehormat, Ganga Rao, semalam. “Saya tidak fikir (persembahan buruk) dalam satu kejohanan menuntut perubahan drastik ketika ini.”
Kien Keat-Boon Heong, pilihan pertama dan juara 2007 dimalukan oleh gandingan ‘orang tua’ Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen 13-21, 11-21 dalam tempoh 27 minit, sementara Eei Hui-Pei Tty, pilihan keempat wanita, dikejutkan pasangan percubaan Indonesia, Meiliana Jauhari-Greysia Polii 20-22, 15-21.
Tambah memalitkan arang di muka skuad kebangsaan, cabaran beregu kini diteruskan gandingan bekas pelatih skuad kebangsaan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen dan ‘orang lama’, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
Bagi Pengurus Besar BAM, Kenny Goh, yang turut menyaksikan persembahan beregu negara di Arena Tertutup Nasional (NIA), Birmingham, semalam, kekalahan itu amat mengecewakan tetapi bukan masa untuk menuding jaring mencari kesalahan.
“Sekarang bukan masa untuk berbalah atau menuding jari salah siapa,” kata Kenny, ketika dihubungi di Birmingham, semalam. “Memang kekalahan itu amat mengecewakan tetapi sekarang pemain dan jurulatih pulih diberikan semangat dan galakan bagi meneruskan cabaran.