Sapura Kencana disenarai bulan depan SHAHRIL (tiga dari kanan) dan Mokhzani (dua dari kanan) selepas pelancaran majlis Red Ribbon GP Ball 2012 Sapura dan Kencana Petroleum di Kuala Lumpur, semalam.
Gabungan entiti dijadual lancar tawaran awam sempena penyenaraian

SAPURA Kencana Petroleum Bhd dijangkakan disenaraikan di Bursa Malaysia bulan depan, sekali gus membentuk syarikat perkhidmatan lapangan minyak kelima terbesar di dunia.
Entiti gabungan SapuraCrest Petroleum dan Kencana Petroleum Bhd itu dijadual melancarkan prospektus tawaran awam permulaannya (IPO) sempena penyenaraian itu pada pertengahan bulan depan.


Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sapura Kencana Petroleum, Datuk Seri Shahril Shamsuddin, berkata cadangan penyenaraian entiti yang digabungkan itu sudah memasuki proses terakhirnya membabitkan beberapa perkara kecil berkaitan pentadbiran seperti arahan mahkamah.

“Semua isu berkaitan pemegang saham sudah diselesaikan, justeru, kami semakin menghampiri proses penyenaraian,” katanya yang ditemui selepas pelancaran majlis Red Ribbon GP Ball 2012 Sapura dan Kencana Petroleum di Kuala Lumpur, semalam.

Langkah penggabungan itu sudah mendapat mandat daripada pemegang saham kedua-dua SapuraCrest serta Kencana Petroleum pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) masing-masing bulan lalu, iaitu dengan sokongan 99.5 peratus dan 99.8 peratus.

Apabila digabungkan, nilai permodalan pasaran entiti gabungan itu mencecah RM10 bilion.
Datuk Mokhzani Mahathir yang kini Ketua Eksekutif Kumpulan Kencana Petroleum akan memegang jawatan Timbalan Pengerusi Eksekutif syarikat yang digabungkan itu, manakala Shahril sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, polisi dividen syarikat digabungkan itu hanya akan dimuktamadkan selepas prospektus IPOnya dilancarkan bulan depan.

“Kami perlu menunggu penggabungan kedua-dua syarikat dimuktamadkan.

“Bagi melaksanakan (polisi dividen), kami perlu mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama ahli lembaga pengarah masing-masing,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nilai sebenar penggabungan itu kerana ia hanya boleh diberitahu selepas prospektus IPO itu dilancarkan.

Sementara itu, Mokhzani berkata, syarikat yang digabungkan itu mempunyai kepakaran teras dalam bidang kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pelaksanaan (EPCIC) yang membolehkannya meneroka peluang di dalam serta luar negara.

Katanya, antara yang akan diberi tumpuan oleh syarikat digabungkan itu ialah dalam sektor lapangan minyak kecil.

“Disebabkan saiz kewangan yang dimiliki kedua-dua syarikat selepas digabungkan, kami akan mampu meneroka peluang di luar negara.

“Bagi tahun ini, kegiatan perniagaan akan dijalankan seperti biasa sama ada bergerak secara bersendirian atau secara gabungan,” katanya.

Sebagai syarikat perkhidmatan lapangan minyak terbesar dunia, beliau berkata, proses membida kerja di seluruh dunia tidak akan dihentikan.

“Buat masa ini kami akan meninjau beberapa peluang yang disediakan dalam bidang EPCIC di seluruh dunia.

“Kami sedang berunding dengan beberapa peserta utama minyak dan gas dunia kerana ia adalah tugas biasa sebagai kontraktor,” katanya.

Beliau menambah, syarikat gabungan itu akan memberi tumpuan penuh untuk meninjau pasaran baru yang belum pernah diteroka kedua-dua syarikat sebelum ini seperti di Australia, Amerika Latin, Amerika Selatan dan Asia Tengah.