Sektor pembuatan terus pikat pelabur
Sektor pembuatan berkembang lima peratus dalam tempoh separuh pertama 2012 berbanding 4.1 peratus dalam tempoh sama 2011.

Pengeluaran sektor ini meningkat 5.2 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012, sejajar nilai jualan produk pembuatan yang meningkat 6.5 peratus kepada RM363.1 bilion.
Jumlah pengeluaran industri berorientasikan domestik berkembang 8.6 peratus, manakala berorientasikan eksport meningkat 4.1 peratus.

Sektor ini terus menarik pelaburan asing dan domestik dengan nilai pelaburan diluluskan RM56.1 bilion pada 2011.

Produktiviti naik 4.6 peratus

Gaji purata bagi setiap pekerja menokok RM2,455 manakala produktiviti meningkat 4.6 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012.

Di samping itu, kadar kapasiti penggunaan kekal tinggi pada 82.8 peratus dalam tempoh suku kedua 2012 sungguhpun tahap kapasiti terus berkembang dengan peningkatan pelaburan baru.
Sejajar prospek ekonomi keseluruhan, nilai ditambah bagi sektor ini dijangka meningkat 4.2 peratus pada 2012 ini.

Pengeluaran bagi subsektor elektrik dan elektronik (E&E) kembali pulih dengan pertumbuhan 1.6 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012, didorong terutama oleh pengeluaran peranti semikonduktor (14.5 peratus) serta perkakas komunikasi dan visual audio (enam peratus) yang lebih tinggi.

Perbelanjaan modal yang diluluskan dalam subsektor E&E RM1.72 bilion bagi 46 projek dan daripada jumlah ini, RM1.35 bilion adalah pelaburan asing.

Pengeluaran subsektor kimia dan produk kimia berkembang 9.9 peratus berikutan permintaan semakin meningkat bagi produk plastik (11.8 peratus) dan bahan kimia asas (11.1 peratus).

Jumlah pengeluaran petroleum pula meningkat 7.1 peratus sejajar permintaan domestik yang tinggi, manakala pengeluaran kayu dan produk kayu kembali pulih 4.6 peratus disokong sebahagian besarnya oleh permintaan yang lebih tinggi bagi perabot kayu dan rotan (33.5 peratus).

Produk getah meningkat

Pengeluaran produk getah meningkat 3.6 peratus disokong terutama oleh permintaan berterusan bagi sarung tangan getah yang meningkat 5.9 peratus.

Dari sudut domestik, pengeluaran bagi kumpulan bahan berkaitan pembinaan berkembang 5.7 peratus, sementara pengeluaran galian bukan logam terus meningkat tetapi pada kadar lebih perlahan sebanyak 6.6 peratus dan produk logam direka 11.2 peratus.

Paling ketara, pengeluaran produk struktur logam meningkat 20 peratus sementara simen hidraulik berkembang 5.8 peratus.

Pengeluaran kelengkapan pengangkutan pulih dengan ketara 13.7 peratus, manakala pengeluaran kenderaan bermotor kembali pulih 11.8 peratus sementara motosikal berkembang 34.5 peratus didorong sebahagiannya oleh pemulihan bekalan alat ganti dan komponen automotif.

Jumlah keluaran industri (TIV) kenderaan bagi tujuh bulan pertama 2012 adalah 360,691 unit dan dianggar mencecah 615,000 unit bagi keseluruhan 2012.

Pengeluaran produk makanan meningkat 12.5 peratus dipacu terutama pengeluaran produk tenusu yang lebih tinggi (98.9 peratus) dan pengilangan produk ikan yang diproses dan diawet (25.4 peratus).