CYBERJAYA: Mulai esok, mereka yang lahir pada tahun 1994 boleh membuat semakan untuk mengetahui sama ada mereka terpilih untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi sesi tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata seramai 140,000 peserta terpilih untuk mengikuti kursus itu tahun depan, iaitu 27 peratus daripada keseluruhan 515,697 yang lahir pada tahun tersebut.
"Bagaimanapun semakan ini hanya untuk mengetahui mereka yang terpilih sahaja supaya mereka dapat membuat persediaan awal, manakala penempatan kem dan siri kumpulan boleh disemak mulai Disember nanti," katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Memasak Dodol anjuran bersama Sekretariat Alumni PLKN dan syarikat Global Globe (M) Sdn Bhd di sini hari ini.


Abdul Hadi berkata, semakan boleh dibuat melalui lawan web PLKN iaitu www.khidmatnegara.gov.my atau dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888.

Mengenai program itu, Abdul Hadi berkata selain membuat dodol untuk disumbangkan kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas semasa Aidilfitri nanti, program itu juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli alumni dan staf syarikat.

Sebanyak 1,000 kilogram dodol dihasilkan pada program itu yang akan diserahkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) sebagai badan penyelaras untuk diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan. - BERNAMA