Kejayaan Serena itu mengatasi kejayaan mudah Suzanne Lenglen yang menewaskan Dorothy Holman 6-3, 6-0 pada final 1920 di Antwerp.
Pemain berumur 30 tahun itu menyamai pencapaian lagenda Jerman, Steffi Graf yang memperoleh keputusan sama pada 1988 apabila dia memperoleh lima gelaran dalam tahun yang sama.
Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka dari Belarus memenangi pingat gangsa apabila menewaskan pemain Russia, Maria Kirilenko yang juga pilihan ke-14, 6-3, 6-4.
Sementara itu bagi acara lelaki, bintang Britain Andy Murray meraih peluang kedua untuk membalas dendam apabila bertemu Roger Federer pada final, hari ini, selepas tewas kepada lawannya itu pada Kejohanan Wimbledon.
Murray mencatat kemenangan 7-5, 7-5 ke atas pemain nombor dua dunia, Novak Djokovic pada separuh akhir.
Saya mahu mencuba dan menang namun ia bukan saja mengenai balas dendam, kata Murray. Jika kamu bertanya saya sebelum kejohanan, saya akan berkata gelaran Wimbledon atau Grand Slam adalah paling penting untuk dicapai dalam kerjaya kamu.
Namun di dalam sukan, pingat emas adalah kemuncak. Semua orang tahu apa nilai pingat emas.
Federer, mara ke final selepas menewaskan Juan Martin del Potro 3-6, 7-6 (7/5) 19-17 dalam masa 4 jam 26 minit, perlawanan tiga set terpanjang dalam era terbuka dan mengesahkan pingat buat negaranya sekurang-kurangnya perak.
AFP
