Untuk kali pertama sejak kemunculan catatan masa elektronik, acara riben biru menyaksikan saingan sengit dalam sejarah antara empat lelaki terpantas dunia - juara bertahan Usain Bolt, Yohan Blake, Asafa Powell dan Tyson Gay.
“Saya adalah juara Olimpik dan saya perlu tunjukkan kepada dunia saya yang terbaik,” kata Bolt pada majlis pembukaan Olimpik baru-baru ini. Tambah menarik, Bolt bakal menerima cabaran sengit daripada rakan sepelatih Blake - yang pernah menewaskannya dalam acara 100m dan 200m pada ujian Olimpik Jamaica lalu.
Blake dinobatkan juara dunia di Daegu, Korea tahun lalu selepas Bolt bermula malang dengan melakukan kesilapan pada permulaan final biarpun dia dianggap sebagai pilihan utama untuk memenangi emas.
“Falsafah saya ialah sentiasa memberikan yang terbaik,” kata Blake. “Saya sentiasa mahu beraksi di Olimpik. Ia adalah keinginan setiap orang. Saya tidak mempunyai apa-apa mesej kepada Usain Bolt. Dia seorang yang baik dan saya tidak memberi tumpuan kepadanya.”
Saingan lain dalam 100m kemungkinan besar dari seorang lagi pelumba Jamaica, Powel dan dua atlit Amerika, Gay dan Justin Gatlin.
Gatlin menang acara 100m di Athens 2004 tetapi digantung dalam mempertahankan gelaran di Beijing akibat kesalahan doping. Acara trek dan padang bermula hari ini hingga 12 Ogos, di Stadium Olimpik yang baru dibina dengan anggaran kira-kira 2,000 atlit mengambil bahagian dalam 47 acara. - AFP
