KUALA LUMPUR: Polis mematahkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan lapan warga asing, termasuk seorang pelajar sejak Jumaat lalu dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM6.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata tujuh warga Pakistan dan seorang pelajar Nigeria berumur 26 hingga 39 tahun itu ditahan di Puchong, Danau Kota dan Nilai, Negeri Sembilan dalam tangkapan selama tiga hari berturut-turut.
"Dalam tangkapan pada Jumaat lepas, polis menahan seorang pelajar warga Nigeria berumur 32 tahun di kawasan pos laju di Puchong, yang memegang bungkusan berisi jaket mengandungi dadah jenis kokain seberat 390 gram.

"Bungkusan yang diterima dari Argentina itu, ditemui terendam dan diserapkan ke dalam lapisan jaket itu," katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Noor Rashid berkata pelajar itu memasuki negara ini menggunakan visa pelajar bagi mengikuti pengajian di sebuah pusat bahasa di ibu kota.

"Susulan tangkapan itu, polis menahan dua lagi lelaki Pakistan di kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan dan tangkapan ketiga dilakukan pada Ahad lepas yang melibatkan lima lelaki warga Pakistan di sebuah rumah di Danau Kota, Setapak," katanya.

Noor Rashid berkata pemeriksaan di kilang di Nilai itu menemui 39 kotak berisi jeruk yang mengandungi 195 paket dadah jenis heroin gred tinggi seberat 110 kilogram.
"Pemeriksaan juga menemui pelbagai kotak berisi barangan makanan seperti garam, bihun, sos tomato, dan jeruk dari luar negara yang dipercayai diimport melalui kargo menggunakan jalan laut," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka telah direman dan kes di siasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA