Sindrom sakit tumit Alat khas berbentuk kotak cermin digunakan untuk mengenal pasti jenis tapak kaki pesakit.
Lakukan rawatan kaki elak kompilasi derita masalah lain pada tubuh

Melangkah masuk ke premis kesihatan MyOrtho Foot & Spine (MyOrtho), kemudian disuruh berdiri di atas kotak kaca untuk melakukan ujian tapak kaki. Keputusannya, pronated atau kedudukan tapak kaki serong ke dalam.
Masalah bakal dihadapi pemilik tapak kaki serong adalah gerbang kaki menjadi rata dan lebih serius, ia boleh mengakibatkan kecederaan seperti plantar fascilitis (turut dipanggil Sindrom Kesakitan Tumit), shin splints (sakit bahagian bawah kaki), benjol pada sendi ibu jari kaki dan tegang saraf di belakang betis.
Ramai tidak tahu ada pakar orthotik dan prostetik yang boleh membaiki kesakitan pada kaki dan tapak kaki tanpa pembedahan atau ubat," - Edmund Lee, Pakar Orthotik dan Prostetik

Pakar Orthotik dan Prostetik, Edmund Lee, berkata ramai tidak menyedari masalah sakit lutut, belakang dan cepat letih apabila berjalan berpunca daripada masalah di tapak kaki.

“Ramai juga tidak tahu adanya pakar orthotik dan prostetik yang boleh membaiki kesakitan pada kaki dan tapak kaki tanpa pembedahan atau ubatan,” katanya di majlis pelancaran premis kesihatan MyOrtho, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mobilisasi kaki bukan urut

MyOrtho menawarkan servis mobilisasi kaki dan terapi manual bagi membantu merawat kesakitan tapak kaki, tumit, betis, lutut, pinggul dan tulang belakang.
“Paling penting, bagi menangani masalah itu, pesakit turut diberikan lapik kaki khas dan fungsinya menyamai cermin mata bagi individu mempunyai masalah penglihatan.

“Lapik kaki orthotic boleh membantu membetulkan masalah pada kaki tapi syaratnya, lapik kaki itu ditempah khas mengikut bentuk tapak kaki anda,” katanya.

Kaedah rawatan juga berbeza antaranya pesakit perlu melalui prosedur dipanggil manipulasi kaki iaitu tulang dan sendi kaki dilonggarkan menggunakan pergerakan tertentu.

“Rawatan hanya mengambil masa beberapa minit dan rasa selesa kekal antara 48 hingga 72 jam. Bagi melihat keberkesanan rawatan, pesakit perlu menjalani sekurang-kurangnya satu sesi manipulasi kaki seminggu untuk lima hingga 15 sesi.

“Keberkesanan rawatan bergantung kepada keupayaan sendi kembali ke kedudukan asal, tempoh dan tahap kecederaan,” katanya.

Wanita lebih berisiko

Tambah Lee, sasarannya adalah wanita kerana mereka lebih berisiko mengalami kecederaan di tapak kaki disebabkan kerap mengenakan kasut bertumit tinggi.

“Bagaimanapun, kebanyakan masalah yang berpunca disebabkan koordinasi kaki boleh dirawat dan dielakkan. Kerana itu kami di sini turut menawarkan sesi untuk kanak-kanak seawal usia empat tahun bagi membendung terjadinya tapak rata,” katanya.

Selain lapik kasut orthotic, MyOrtho turut menghasilkan kasut khas untuk pesakit gout, kencing manis dan celebral palsy.

INFO: Panduan penjagaan kaki
  • Basuh kaki dan kering sebaiknya terutama di celah jari
  • Periksa tapak kaki dengan kerap bagi melihat perubahan warna, tekstur dan mengesan sebarang keganjilan
  • Kuku perlu dipotong melurus. Jangan terlalu pendek atau serong di tepi - ia boleh menyebabkan kuku tumbuh mencengkam
  • Tukar stoking bersih setiap hari
  • Jangan abaikan sakit pada kaki. Terus berjumpa doktor atau pakar orthotic jika sakit berterusan
  • Senaman - berjalan terapi terbaik untuk kaki. Tapi pastikan anda mengenakan kasut senaman yang betul
  • Beli kasut ketika petang, sewaktu kaki sedang mengembang.