KOTA BHARU: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan, sisa buangan kilang memproses nadir bumi Lynas Corporation Ltd di Gebeng, Pahang, akan dipindahkan ke lokasi lain yang selamat dan jauh dari penempatan manusia.

Perdana Menteri berkata, kerajaan membuat keputusan itu bagi mengelakkan kebimbangan masyarakat yang mempengaruhi emosi dan psikologi walaupun pakar agensi pemantauan nuklear mengesahkan kilang itu selamat.
"Walaupun saintis sudah mengeluarkan bukti termasuk akuan badan antarabangsa bahawa sisa buangan itu selamat tetapi masih ada orang tidak puas hati membabitkan soal emosi dan psikologi, jadi kita putuskan pindahkan sisa buangan itu ke tempat lebih jauh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ramah Mesra bersama Profesional Kelantan di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin serta Ketua UMNO bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Najib berkata, kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan akan dipindahkan itu dan akan mengumumkannya kelak.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) merumuskan kilang nadir bumi Lynas Corporation selamat dan hanya perlu melakukan penambahbaikan terhadap beberapa aspek teknikal sebelum meneruskan operasi ke peringkat seterusnya.

Laporan hasil kajian pakar agensi pemantauan nuklear itu menyatakan tidak menemui sebarang ‘ketidakpatuhan piawaian keselamatan radiasi antarabangsa’ dalam projek itu.
Bagaimanapun, isu Lynas dimanipulasi pembangkang dengan mengajak rakyat berdemonstrasi Ahad lalu.

Sementara itu, berhubung kedudukan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri, yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kelmarin dan dikenakan penjara enam tahun dan denda RM400,000, Najib berkata, Abdul Rahman masih Ahli Parlimen kerana kesnya dalam proses rayuan di mahkamah.

Berhubung calon Menteri Besar Kelantan, Najib yang juga Presiden UMNO, berkata, UMNO sudah mempunyai calon berwibawa untuk diketengahkan bagi menentang PAS terutama Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada pilihan raya umum akan datang.

“Bila sampai masanya, kita akan bariskan kepemimpinan parti yang pada pendapat kita begitu berwibawa untuk diketengahkan sebagai pemimpin di negeri ini,” katanya.

Ditanya sama ada Mustapa sebagai calon terbaik, Najib berkata, sekarang ia masih terbuka.

“Kita tengok dulu pendapat semua pihak dan kalau Tok Pa sanggup, 'no problem'. Bagaimanapun, kita akan umumkan apabila tiba masanya,” katanya.

Ditanya mengenai Hamas menolak kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib berkata, ia menunjukkan Anwar memberi keutamaan kepada Israel, bukannya perjuangan rakyat Palestin.

“Malaysia sentiasa memberi keutamaan kepada perjuangan dan kepentingan Palestin seperti diperjuangkan dengan surat ditulis Tun Dr Mahathir Mohamad; Tun Abdullah Badawi dan saya. Dasar negara konsisten, kita tidak berubah dasar terhadap Palestin,” katanya.