PUTRAJAYA: Kerajaan kini menggunakan kaedah tunggal untuk mendapatkan pekerja bukan tetap, iaitu melalui Skim Pekerja Sambilan Harian yang hanya menetapkan kontrak maksimum tiga bulan menggantikan Skim Pekerja Sambilan dan Pekerja Khidmat Singkat (PKS).

Langkah yang berkuat kuasa mulai 9 Mac lalu itu bagi memudahkan pengurusan, termasuk pertindihan tugas dan perbezaan kadar upah antara pekerja sambilan dan PKS.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata mengikut skim terbaru itu, tempoh perkhidmatan pekerja harian itu tidak panjang dan tugasnya berbentuk ‘ad hoc’ atau mengikut tempoh sesuatu projek dan pengambilannya lebih mudah serta menjimatkan.


“Tempoh perkhidmatan mereka tidak melebihi tiga bulan dan boleh dilanjutkan tiga bulan lagi jika ada keperluan oleh ketua jabatan. Waktu bekerja ialah sembilan jam sehari,” katanya menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2011.

Pekeliling berkenaan dikeluarkan untuk menjelaskan dasar dan prosedur pengambilan pekerja sambilan harian bagi menggantikan pengambilan pekerja sambilan dan PKS yang diperkenalkan sejak 1970-an.

Pada masa ini, pelaksanaan tugas yang bersifat sementara dalam tempoh singkat dilakukan melalui pengambilan pekerja sambilan mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1978 – Perubahan Kadar Bayaran Gaji Sehari Bagi Pekerja-Pekerja Sambilan serta beberapa peraturan lain yang dikeluarkan selepas itu.

Selain itu, sebagai alternatif kepada pekerja sambilan, kerajaan juga memperkenalkan PKS bagi melaksanakan tugas tertentu dengan dibayar upah ikut jam atau ikut kerja mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 1999 – Skim Bayaran Upah Ikut Jam atau Kerja.
Berikutan pengenalan skim Pekerja Sambilan Harian itu, semua pekeliling berkaitan pekerja sambilan dan PKS dibatalkan.

Walaupun pekerja sambilan harian itu layak dicarumkan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun mereka tidak layak dibayar kerja lebih masa, upah cuti mingguan dan cuti am, manakala tiada gaji bagi hari yang tidak hadir bekerja.

Bagaimanapun, mereka yang hanya boleh diambil dari kalangan rakyat tempatan, layak menerima elaun perjalanan, bayaran sewa hotel atau penempatan, elaun harian kerana bertugas di luar pejabat antara lapan hingga 24 jam dan elaun makan ketika bertugas di luar melebihi 24 jam.

“Pengambilan pekerja sambilan harian bukan jaminan untuk mereka diserap sebagai pegawai lantikan tetap, sebaliknya mereka yang memenuhi syarat hendaklah memohon melalui proses pengambilan biasa,” katanya dalam pekeliling itu.

Bagaimanapun, pekerja sambilan dan PKS yang sedang bertugas masih boleh meneruskan perkhidmatan sehingga tamat kontrak masing-masing.

Beliau berkata, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan berkenaan turut membabitkan semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan pihak berkuasa tempatan.

CUEPACS sebelum ini mendakwa pada masa ini ada kira-kira 45,000 kakitangan kontrak yang berkhidmat di semua agensi kerajaan dan ada yang sudah berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta JPA mengkaji semula kaedah pengambilan pekerja bukan tetap melalui skim PSH kerana ia didakwa tidak menyelesaikan masalah pekerja kontrak kerajaan pada masa ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya berpendirian kontrak seseorang pekerja bukan tetap dilaksanakan bagi tempoh antara setahun hingga lima tahun, mengikut kesesuaian jawatan, supaya memberi jaminan kepada mereka apabila berkhidmat secara kontrak dengan kerajaan.