Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Lim Hong Tat berkata, langkah itu akan membantu bank berkenaan mencapai pertumbuhan dua angka bagi segmen pembiayaan rumahnya.
Pasaran Australia tidak alami kesan kejatuhan harga bagi kediaman kategori pertengahan. Malah, harga sudah meningkat pada purata kira-kira 9.1 peratus setahun, sepanjang 10 tahun lalu. - Lim Hong Tat, Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank
“Pasaran Australia tidak mengalami kesan kejatuhan harga bagi kediaman kategori pertengahan. Malah, harga meningkat pada purata kira-kira 9.1 peratus setahun, sepanjang 10 tahun lalu.
“Krisis kewangan global pada 2009-2010 menyaksikan harga pasaran hartanah jatuh dengan ketara seperti dialami di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Bagaimanapun dalam tempoh itu, hartanah di Australia meningkat dari segi nilainya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Lim berkata, memandangkan ketika ini Australia menawarkan kelebihan menarik bagi pembelian hartanah untuk bukan warga negaranya, Maybank sudah bekerjasama dengan beberapa agensi hartanah antarabangsa ternama untuk membantu pelanggan, khususnya bagi menangani isu berkaitan peraturan oleh pihak berkuasa negara itu.
Beliau berkata, Maybank mula-mula menawarkan Skim Pinjaman Perumahan Luar Negara dalam mata wang Ringgit ini pada Januari tahun ini bagi membiayai pembelian hartanah kediaman di London dan pada Mei, nilai kemudahan yang sudah diluluskan melebihi RM260 juta.
Katanya, skim itu dikembangkan ke Melbourne bagi memanfaatkan peningkatan permintaan pelabur Malaysia yang melabur dalam hartanah di Australia.
“Skim ini akan membiayai hartanah kediaman siap bina di Melbourne, yang dibangunkan pemaju dari Malaysia dan Australia dalam bentuk pinjaman, overdraf atau gabungan kedua-duanya,” katanya.
“Ketika ini, rakyat Malaysia yang membeli hartanah di Australia mendapatkan kemudahan pembiayaan dalam dolar Australia. Menerusi kaedah ini mereka terdedah kepada ketidaktentuan naik mata wang asing ketika membuat pembayaran balik setiap bulan," katanya.
