KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri maut manakala lima cucu mereka cedera dalam kemalangan jalan raya di Kampung Tompias, Jalan Ranau-Telupid di sini, hari ini.

Pasangan tersebut ialah Andau Kuat, 57, dan Sarani Ayoh, 55, yang terbunuh di tempat kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superitendan Abdul Rahman Kassim, cucu mereka yang berusia antara enam hingga 14 tahun kini dirawat di Hospital Ranau.

Kemalangan dilaporkan berlaku di antara kereta dengan sebuah van yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai gagal memotong sebuah lori lalu bertembung dengan kereta mangsa.

Abdul Rahman berkata, pemandu van tersebut hanya cedera ringan dan ditahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Balai Bomba Daerah Ranau, Rudy Mekki, berkata anggotanya yang dikejarkan ke tempat kejadian mendapati pasangan suami isteri tersebut tersepit di tempat duduk mereka. - BERNAMA