Syria sokong henti konflik Seorang anggota Tentera Pembebasan Syria melepaskan tembakan ketika pertempuran dengan askar kerajaan di Aleppo, kelmarin.
Damsyik: Kerajaan Syria semalam mengalu-alukan sebarang inisiatif rundingan bagi menamatkan pertumpahan darah di negara itu, selepas utusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi krisis Syria, Lakhdar Brahimi berkata beliau memiliki satu pelan damai diterima semua pihak.

Pendirian terbaru rejim dilahirkan Perdana Menteri Wael al-Halaqi, ketika Brahimi meningkatkan usaha untuk mencari jalan menamatkan konflik 21 bulan itu.
Pelan damai


“Kerajaan sedang berusaha menyokong projek penyatuan kebangsaan dan akan memberi maklum balas kepada sebarang inisiatif serantau atau antarabangsa yang akan menyelesaikan krisis terkini menerusi dialog dan pelan damai serta menghalang campur tangan asing dalam hal dalaman Syria,” kata Halaqi kepada parlimen.

Halaqi menekankan kebangkitan menentang rejim Presiden Bashar al-Assad, yang meragut 45,000 nyawa, perlu diselesaikan hanya oleh rakyat Syria, ‘tanpa tekanan luaran atau dekri’.

Negara itu, katanya ‘menuju ke arah saat bersejarah’ apabila ia mengisytiharkan kejayaan ke atas musuhnya, dengan sasaran menempatkan Syria dalam pembangunan satu dunia baru yang mempromosi kedaulatan negara dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Kenyataan Halaqi dibuat selepas Brahimi berkata konflik Syria semakin teruk hari demi hari.
Bercakap selepas rundingan di Russia, tokoh veteran dari Algeria itu berkata kelmarin beliau sudah merangka satu pelan gencatan senjata “yang mungkin diguna pakai masyarakat antarabangsa.”

Jangka gencatan senjata


“Saya sudah membincangkan pelan ini bersama Russia dan Syria. Saya fikir cadangan ini dapat diguna pakai masyarakat antarabangsa,” kata Brahimi tanpa mendedahkan sebarang perincian.

“Ada cadangan untuk penyelesaian politik berdasarkan pengisytiharan Geneva yang menjangka satu gencatan senjata, membentuk kerajaan lengkap dengan keistimewaan dan satu pelan untuk pilihan raya parlimen dan presiden,” katanya merujuk kepada satu inisiatif damai yang dipersetujui kuasa dunia Jun lalu. - AFP