TANAH RUNTUH DI PUNCAK SETIAWANGSA: Perlu diroboh jika perlu Seorang ahli penyelamat DBKL mengarahkan orang ramai bersurai segera ketika berlaku tanah runtuh kecil secara tiba-tiba di tempat kejadian tanah runtuh di Bukit Setiawangsa, semalam.
Kuala Lumpur: Dua lagi banglo di Jalan Puncak Setiawangsa 2, masing-masing milik Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique akan dirobohkan jika perlu.

Tindakan itu bagi memberi ruang zon penampan di antara tebing yang runtuh dan rumah berhampiran namun sebelum itu, Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) perlu mendapatkan semua maklumat berhubung keadaan tanah dan cerun di kawasan terbabit.
Ketua Pegawai Operasi IKRAM, Mohd Taufik Harun, berkata sebarang keputusan berhubung nasib kediaman milik Jamaluddin yang juga bekas Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat dan Zulhasnan, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu tergantung kepada proses kajian tanah dijalankan pihaknya dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Hasil keputusan sebelum ini, JKR, IKRAM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju dan penduduk kawasan Bukit Setiawangsa bersetuju merobohkan sebuah banglo di lereng bukit yang disewa warga Iraq secara berperingkat selepas kedudukannya dirasakan tidak selamat susulan tanah runtuh, Jumaat lalu.

“Setakat ini hanya banglo itu akan dimusnahkan kontraktor yang dilantik pemaju, manakala keputusan berhubung dua lagi banglo belum diputuskan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, semalam.

Kajian pergerakan tanah


Beliau berkata, sejurus banglo disewa warga Iraq itu dirobohkan, pihaknya akan sekali lagi menjalankan kajian pergerakan tanah untuk mengenalpasti sama ada kedudukan kediaman milik Jamaluddin dan Zulhasnan perlu melalui kaedah sama bagi memberi laluan kepada kerja menambak dan meratakan kawasan terbabit.
Katanya, kerja merobohkan banglo disewa warga Iraq itu giat dilakukan bermula jam 10 pagi semalam dan dijangka mengambil masa beberapa hari untuk diselesaikan berikutan terdapat pergerakan tanah dan kekangan cuaca.

Sementara itu, Jamaluddin ketika ditemui, berkata beliau tidak mempunyai sebarang halangan terhadap tindakan merobohkan kediamannya jika itu dirasakan perlu.

“Sebagai mangsa, sekiranya langkah yang diambil dapat mengurangkan risiko serta menjamin keselamatan penduduk sekitar Bukit Setiawangsa dan Puncak Setiawangsa, saya akur kerana ia demi kepentingan bersama,” katanya.