Syarikat rancang beli 70,000 hektar kawasan dalam, luar negara menjelang tahun depan

KUMPULAN TH Plantations Bhd, syarikat milik Tabung Haji yang kini adalah kumpulan perladangan keempat terbesar di Malaysia, merancang mengembangkan lagi keluasan ladangnya dengan membeli sehingga 70,000 hektar ladang sawit baru di dalam dan luar negara.
Langkah yang bakal meningkatkan pendapatan teras perniagaan pelaburan utama Tabung Haji itu memperlihatkan komitmen kukuh pengurus dana Islam terbesar dunia itu untuk terus membayar agihan pendapatan yang tinggi kepada pendepositnya.

Ketua Eksekutif TH Plantations, Datuk Zainal Azwar Aminuddin, berkata langkah itu sejajar sasaran kumpulan perladangan itu meluaskan ladang sawitnya kepada lebih 300,000 hektar menjelang 2013 daripada 230,000 hektar ketika ini.

“Jika kami cari dengan gigih, Insya-Allah kami akan dapat menambah 70,000 hektar lagi menjelang tahun depan, yang mana ladang berpotensi itu adalah di Malaysia, Indonesia serta di beberapa lokasi lain termasuk rantau Afrika.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa pihak di Indonesia untuk membeli ladang di sana, manakala di Afrika pula kami masih mengkaji potensi dan risikonya, namun berdasarkan perkembangan terkini kami rasa yang mungkin dimuktamadkan adalah di Malaysia dan Indonesia.

“Bagi kami, Indonesia kekal pilihan terbaik mengembangkan operasi kumpulan khususnya dalam industri huluan dan hiliran minyak sawit,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Zainal Azwar berkata, beliau menjangkakan 70,000 hektar ladang baru itu mampu menjana pendapatan tambahan sehingga 30 peratus kepada pendapatan keseluruhan kumpulan perladangan Tabung Haji itu dalam jangka sederhana hingga panjang.

Beliau menjelaskan, industri huluan sawit akan terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan itu walaupun memperoleh lonjakan dalam pendapatan yang dijana industri hilirannya tahun lalu.

Katanya, langkah Indonesia mengurangkan cukai eksport minyak sawit mentah dan produk minyak sawit bertapis pertengahan tahun lalu dijangka terus melonjakkan keuntungan industri hiliran kumpulan perladangan milik Tabung Haji itu kepada kira-kira 30 peratus tahun ini.

“Dari segi sumbangan pendapatan, sudah tentu industri huluan minyak sawit lebih tinggi, cuma yang berbezanya adalah margin keuntungan yang dijana industri hiliran kumpulan selepas ini akan lebih besar dan menguntungkan susulan langkah pengurangan cukai eksport Indonesia itu.

“Langkah menyatukan perniagaan huluan dan hiliran kami di Indonesia membolehkan kumpulan memperoleh manfaat besar daripada langkah pengurangan cukai eksport di sana, justeru kami merancang untuk menambah kapasiti kilang penapisan di Batam bagi meraih lebih manfaat,” katanya.

Ketika ini, operasi kumpulan perladangan Tabung Haji di Indonesia meliputi ladang seluas kira-kira 83,000 hektar di Riau serta kilang penapisan, pemprosesan dan pembungkusan minyak sawit PT Synergy Oil Nusantara di Kabil, Batam, yang dilaksanakan dengan usaha sama Felda Iffco Sdn Bhd.