Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan TNB terus kekal sebagai syarikat utiliti pembekal elektrik unggul bersepadu negara.
Hadir sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sri Peter Chin Fah Kui; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ketua Eksekutif PR1MA Bhd, Datuk Abdul Mutalib Alias; Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir Ahmad Fauzi Hassan; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar serta Presiden dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Ir Azman Mohd.
Diputuskan 4 Februari
Najib berkata, keputusan untuk tidak memecahkan TNB kepada beberapa entiti itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikannya pada 4 Februari lalu.
“Saya sudah jelaskan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang mana TNB dikekalkan sebagai utiliti pembekal elektrik unggul bersepadu negara,” katanya.
Difahamkan spekulasi berhubung cadangan untuk memecahkan dan mengasingkan tiga perniagaan teras TNB, iaitu bahagian penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik kepada entiti berasingan dengan fungsi lebih khusus, timbul sebelum Azman dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif TNB.
Jaminan kerajaan itu penting bagi kesinambungan dan keberkesanan usaha TNB dalam memastikan syarikat utiliti itu terus kukuh dan berdaya saing dalam usaha menyediakan bekalan elektrik negara berkualiti dan berdaya harap.
MoU TNB dan PR1MA
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara TNB dan PR1MA. Dalam acara itu, TNB diwakili Azman, manakala PR1MA diwakili Abdul Mutalib.
MoU itu membabitkan kerjasama bagi membangunkan projek perumahan mampu milik untuk warga TNB di tapak seluas 3.2 hektar di Kajang, Selangor.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan menambah kuota penerima biasiswa dalam kalangan anak kakitangan TNB sebanyak sekali ganda daripada 100 pelajar kepada 205 pelajar.
Penambahan kuota itu membabitkan peruntukan tambahan kepada RM50 juta daripada RM25 juta.
Beliau turut mengumumkan pelarasan gaji kakitangan eksekutif TNB yang akan menerima gaji baru itu mulai hujung bulan ini. Ia membabitkan kira-kira 5,000 kakitangan TNB di seluruh negara. TNB sudah membuat pelarasan gaji kakitangan bukan eksekutifnya tahun lalu.
