Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keuntungan bersih RM3.192 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama berakhir 31 Mei 2012, meningkat lebih 100 peratus berbanding RM1.287 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie, menjelaskan kenaikan ketara itu disumbang terutama oleh penerimaan pampasan kos bahan api daripada PETRONAS dan kerajaan berpunca daripada kekurangan bekalan gas sebelum ini.
Kos operasi meningkat
Beliau berkata, secara umumnya perbelanjaan operasi syarikat sepanjang tempoh sembilan bulan itu meningkat 8.2 peratus kepada RM23.399 juta daripada RM21.621 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan itu disebabkan kos penjanaan lebih tinggi susulan penggunaan bahan api alternatif lebih tinggi, harga purata arang batu lebih tinggi dan peningkatan penggunaan arang batu,” katanya pada sidang media membentang keputusan suku kewangan itu di Kuala Lumpur, semalam.
Leo berkata, harga purata arang batu sepanjang tempoh dikaji berada pada AS$107.5 satu tan berbanding AS$103 satu tan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Penggunaan arang batu juga, katanya turut meningkat sebanyak 11.5 peratus kepada 15.5 juta tan metrik daripada RM13.9 juta tan metrik, susulan kekurangan bekalan gas.
Leo berkata, penerimaan pampasan kos bahan api itu turut menyaksikan keuntungan bersih TNB meningkat ketara kepada RM619.1 juta pada suku kewangan ketiga berakhir 31 Mei 2012 daripada kerugian bersih RM179.2 juta suku sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan kukuh
Ia diraih di sebalik peningkatan kecil pendapatan kepada RM9.191 bilion daripada RM7.984 bilion.
Mengulas pertumbuhan permintaan elektrik di Semenanjung, beliau berkata, kajian pertumbuhan elektrik tahun-ke-tahun suku ketiga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 4.4 peratus, dipacu sektor komersial dan domestik yang masing-masing mencatat pertumbuhan permintaan 4.8 peratus dan 5.7 peratus.
“Permintaan puncak baru sebanyak 15,826 megawatt direkodkan pada 20 Jun 2012,” katanya.
Sementara itu Presiden yang juga Ketua Eksekutif TNB yang baru, Datuk Ir Azman Mohd, berkata keputusan suku-ke-suku menunjukkan sedikit penambahbaikan dalam jumlah bekalan gas dan penjanaan menerusi stesen jana kuasa hidro.
