Nanning, China: Taman Perindustrian Kuantan (TPK) yang bakal dibangunkan sebagai kawasan perindustrian berkembar dengan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) di China, dijangka menarik pelaburan RM7 bilion dan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata TPK seluas 1,500 ekar (600 hektar) yang dijangka mula dibangunkan pertengahan Disember ini akan menjadi gerbang buat pengusaha produk China memasuki pasaran Malaysia.
Sementara QIP seluas 13,500 ekar (5,400 hektar) yang sedang dibangunkan akan turut memainkan peranan sama untuk Malaysia dan ASEAN memasuki pasaran China.


Beliau berkata, Malaysia dan China akan bekerjasama erat memastikan pembangunan kedua-dua taman perindustrian itu memberi manfaat kepada kedua-dua negara di samping menggalakkan lagi pertumbuhan perdagangan.

Projek berjalan lancar

“Mereka (Kerajaan China) juga mahu projek di TPK berjalan sama pantas dengan QIP,” katanya kepada media di sini, semalam.

Perkembangan pembangunan QIP seluas 55 kilometer persegi di wilayah autonomi Guangxi dan TPK menjadi antara topik utama dibincangkan pada lawatan Muhyiddin ke China sempena Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2012 yang sedang berlangsung di sini.
Rasmi Astaka Malaysia

Semalam, Timbalan Perdana Menteri turut merasmikan Astaka Malaysia di CAEXPO 2012.

Kerjasama Malaysia-China bagi mewujudkan TPK dan QIP dicadangkan ketika pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan rakan sejawatnya dari China, Wen Jia Bao di Kuala Lumpur tahun lalu.

Pembangunan fasa pertama QIP dijangka siap pada 2015 dan keseluruhan tiga fasa pembangunannya dijangka siap pada 2020.

Sementara itu, ketika sesi tinjauan ke QIP, semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata perdagangan dua hala antara Malaysia dan China dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2015 susulan kerjasama lebih erat yang terjalin antara kedua-dua negara.

Katanya, kedua-dua negara masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk faedah bersama dan semua negara kini melihat China sebagai destinasi tumpuan perdagangan ekoran pertumbuhan pasarannya.

Limpahan pelaburan

Beliau berkata, kerjasama baru menerusi TPK dan QIP yang terjalin sejak tahun lalu adalah tepat pada masanya dan yakin akan terdapat lebih banyak pelaburan menyusul dengan kewujudan dua taman perindustrian terbabit.

“Ketika ini QIP ada lima projek bernilai 10 bilion RMB (RM4.8 bilion) yang dibangunkan pada masa akan datang,” katanya.