Tajuk saja sama TERAJU utama drama Natrah, dari kiri; Natasha, Juliana, Sherrie Merlis dan Fikree.
Natrah untuk drama TV bukan kesinambungan daripada versi teater

KETIKA ini teater Natrah serius dipentaskan di Istana Budaya sejak 24 November lalu. Pada masa sama, sebuah produksi juga turut rancak membuat penggambaran drama bersiri yang mengangkat rentetan sebuah kisah sejarah berlatarkan era 50-an ke layar kaca untuk siaran pendek apatah lagi ia pernah mengorbankan banyak nyawa sekali gus memerlukan garapan teliti supaya tidak tersasar daripada fakta.
Kisah Natrah gadis Belanda yang menjadi perebutan antara ibu kandung dengan emak angkat berbangsa Melayu yang mencetuskan isu global hingga mengakibatkan pertumpahan darah sememangnya menarik untuk dikongsi dengan generasi muda namun memerlukan kos berganda berbanding drama biasa.


Bagi pengarahnya, Wan Hasliza Zainuddin, ketelitian bukan sekadar pada pertuturan, lokasi atau kostum sebaliknya sekecil-kecil perkara termasuk props dan perhiasan kecil perlu dipastikan masih menepati lingkungan latar masa bagi menggambarkan suasana pada waktu itu.

Tidak hairan, drama epik empat episod yang bakal disiarkan menerusi slot Suatu Ketika Astro Citra menuntut pengorbanan besar daripada seluruh krew produksi apabila sejak awal penggambaran, aspek teknikal serta penyediaan set mengambil masa berjam-jam untuk disiapkan sedangkan babaknya hanya seketika.

“Kini bangunan era 50-an sudah hampir lenyap. Faktor lokasi membawa kami ke Batu Gajah dan Ipoh, Perak selain beberapa bangunan kolonial di sekitar ibu negara tetapi keperluan yang paling penting adalah perabot dan perhiasan lama yang kami usung ke sana sini menaiki lori supaya kesinambungan adegan tidak lari.

“Set penggambaran juga terpaksa mengambil masa berjam-jam untuk disempurnakan berdasarkan kehendak masa. Situasi itu tentu saja mengundang tekanan namun syukur keadaan itu masih memberi kelebihan kepada pelakon untuk mencuri masa belajar bahasa dengan guru bahasa,” katanya ketika di temui di set penggambaran Natrah.
Apa pun, drama Natrah bukan kesinambungan teater Natrah yang sedang dipentaskan kali kedua di Istana Budaya, ini sebaliknya digarap sendiri Wan Hasliza berdasarkan fakta yang dikutip daripada buku nukilan Fatini Yaacob.

Katanya, demi mengelakkan kekeliruan atau percanggahan, penulis terbabit turut diundang sebagai penasihat tetapi pada masa sama, perbualan dan situasi beberapa babak penting diolah berdasarkan imaginasi Wan Hasliza selaku penulis skripnya namun masih tidak terkeluar daripada pemahaman asal.

“Natrah adalah sebahagian daripada sejarah negara dan sudah pasti saya tidak mahu mengubah fakta sesuka hati. Drama bersiri ini adalah sebahagian usaha memperkenalkan sejarah kepada generasi akan datang, sedikit sebanyak tanggungjawab besar ini mendorong kami menghasilkan produk berkualiti menepati kehendak ramai.

“Sudah pasti amanah itu terpikul di bahu kami dan barisan pelakon apatah lagi segala perwatakan yang ditonjolkan di skrin bakal diikuti penonton yang mahu mengetahui gambaran sebenar situasi dialami Natrah hingga mencetuskan pertumpahan darah,” katanya lagi.

Justeru, pihaknya terpaksa memilih situasi penting bermula dengan perebutan antara ibu kandung, Adeline Hertog lakonan Natasha Hudson dengan emak angkat Natrah, Che Aminah (Sherie Merlis) di mahkamah dengan sedikit babak imbas semula selain penggunaan teknik CGI bagi adegan rusuhan.

“Jika menyebut soal kos, tentu saja peruntukannya lebih besar namun saya mendapat kerjasama sempurna daripada pengarah sinematografi dan semua krew yang cukup kreatif mendapatkan sudut terbaik sekali gus menyerlahkan emosi untuk setiap situasi namun kami masih memerlukan teknik CGI bagi menyerlahkan keadaan,” katanya.

Pastinya tumpuan penonton nanti terarah kepada tunjang utamanya iaitu bakat muda, Juliana Evans, 21, yang diamanahkan menghidupkan watak Natrah atau nama sebenar Maria Hertogh selain Sherrie Merlis, Natasha Hudson dan Fikree Bakar yang membawakan peranan suami Natrah, Mansor Adabi.

Jelas Wan Hasliza, pemilihan Juliana bukan sekadar wajah campuran malah kelembutan asli di sebalik karektor gadis berdarah Melayu-Inggeris itu yang sememangnya menepati gambaran sifat Natrah yang dibesarkan dalam nilai tradisi bangsa Melayu.

“Juliana bertubuh kecil molek seusia Natrah yang hanya 13 tahun ketika peristiwa itu berlaku. Sama ada dia sedar atau tidak, kami melihatnya sebagai gadis Melayu berwajah Belanda yang penuh kelembutan baik dari segi tingkah laku mahu pun pertuturan.

“Karektor lain tidak perlu dijelaskan seperti Sherrie Merlis yang kuat penghayatan sekali pun sekadar emak angkat yang menyerahkan seluruh jiwa raganya. Tidak hanya untuk seorang Natrah sebaliknya demi bangsa dan agama Islam, begitu juga Natasha Hudson, ibu kandung yang mahu merebut kembali kasih si anak,” katanya.