Program anjuran bersama Institut Jantung Negara (IJN) itu akan diadakan selama dua hari bermula Sabtu ini di kawasan Parlimen Pagoh, Johor iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Pasir, Muar pada Sabtu dan Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat, Gersik, Ahad.
Pelbagai acara menarik akan diadakan termasuk pendedahan mengenai risiko pembunuh nombor satu negara itu serta pemeriksaan jantung percuma oleh pakar IJN, senaman pagi, ceramah kesihatan dan aktiviti untuk kanak-kanak.
Pemeriksaan itu terbuka kepada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak kerana penyakit itu menyerang tanpa mengira usia, katanya selepas menerima replika cek RM15,000 disampaikan Pengurus Besar Operasi Takaful Malaysia, Nazrul Hisham Abdul Hamid, di sini, semalam.
Kira-kira 4,000 pengunjung dijangka membanjiri program yang akan disertai oleh kira-kira 70 sukarelawan daripada Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP dan IJN.
Sementara itu, Nazrul Hisham berkata pihaknya akan terus menyokong inisiatif mulia seumpama itu kerana ia bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak.
Masih ramai yang belum menyedari kepentingan pemeriksaan kardiovaskular, justeru program seumpama itu diharap dapat mengubah persepsi dan perhatian masyarakat terhadap bahaya penyakit itu, katanya.



