Tak tukar baju berhari-hari Majlis Keselamatan Negara membawa bekalan makanan kepada penduduk dari Tanjung Labian dan Tanjung Batu yang menyelamatkan diri di Felda Sahabat Fajar Harapan.
Lahad Datu: Penduduk beberapa perkampungan yang terjejas akibat pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, dekat sini, berharap episod hitam itu dapat ditamatkan segera.

Sambil menyatakan sokongan terhadap operasi besar-besaran pasukan keselamatan bagi menumpaskan kumpulan pengganas terbabit kelmarin, penduduk mahu menikmati kehidupan seperti sebelum ini tanpa sebarang kebimbangan.
Penduduk Kampung Tanduo, Mansor Badah, 35, berkata sebelum pencerobohan kumpulan pengganas dari selatan Filipina itu, beliau tiada masalah turun ke laut menangkap ikan sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga.


Mahu kembali aman

“Sekarang hidup saya susah... kami kini terpaksa tinggal di dewan beramai-ramai dengan memakai baju sama setiap hari, saya sudah beberapa hari tak tukar baju.

“Saya sokong apa saja dibuat pasukan keselamatan asalkan kami dapat menikmati kehidupan aman seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Embara Budi, FELDA Sahabat 20, dekat sini, semalam.

Dianggarkan seramai 600 penduduk Kampung Tanduo, Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu ditempatkan di dewan berkenaan sementara waktu.
Harapan sama turut dinyatakan penduduk Tanjung Labian, Alimudin Kadir, 41, yang berharap insiden itu dapat diselesaikan segera.

“Siapa yang tidak mahu hidup aman macam dulu, sekarang kami tidak boleh keluar, manakala bekalan makanan juga tidak mencukupi,” katanya.

Seperti Mansor, bapa kepada lima anak itu berdepan masalah kekurangan pakaian kerana tidak sempat membawanya ketika tergesa-gesa meninggalkan rumah, empat hari lalu.

“Tidak sempat bawa baju lain hari itu kerana hendak cepat, sekarang ini terpaksa pakai baju sama setiap hari,” katanya.