Tanah runtuh tutup laluan Kakitangan Jabatan Kerja Raya mengawasi kerja penutupan laluan berhampiran tanah runtuh di Menara Tinjau Hulu Langat, Ampang, malam tadi. - Foto Adzrin Jaafar
Kuala Lumpur: Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup sementara berikutan tanah runtuh di kawasan berdekatan Menara Tinjau, Bukit Ampang petang semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaludin, berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat beberapa hari lalu.
"Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif," katanya ketika dihubungi, malam tadi.


Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyatakan runtuhan lereng bukit seluas 50 meter persegi itu didapati menutupi jalan, menyebabkan lalu lintas tergendala.

Dalam khidmat pesanan ringkas, jurucakap jabatan itu berkata pihaknya menerima maklumat mengenai runtuhan itu pada jam 6.11 petang semalam.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya juga menutup keseluruhan jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.

"Tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini," katanya.
BERNAMA