Kuala Lumpur: Kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan lebih RM400 juta setahun untuk melaksanakan pendidikan percuma.

Jumlah itu bagaimanapun hanya pembiayaan yuran pengajian, tidak termasuk tuisyen, asrama pelajar serta sara hidup pelajar dan gaji atau elaun kakitangan universiti.
Ini berikutan semua 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memerlukan peruntukan tambahan lebih RM10 juta setiap semester untuk menampung yuran pengajian penuntutnya.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Seri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berpendapat manifesto pembangkang untuk memberi pendidikan percuma mustahil dilaksanakan.

Katanya, perbelanjaan sebenar untuk seorang pelajar kejuruteraan di universiti awam adalah RM60,000 hingga RM70,000, tidak termasuk elaun sara hidup dan yuran tuisyen.

“Bagi saya, manifesto pakatan pembangkang tidak masuk akal dan ia tidak lebih daripada janji pilihan raya yang kemudian dimungkiri,” katanya kepada BH, semalam.

Manifesto pembangkang yang dilancarkan, kelmarin, turut menjanjikan yuran bagi pengajian tinggi di semua IPTA ditanggung kerajaan, manakala di institusi swasta akan diberi subsidi setara kos tanggungan kerajaan di universiti awam.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa turut mengakui manifesto itu sukar dilaksanakan, termasuk di UPSI biarpun yuran pengajiannya lebih rendah berbanding universiti awam lain.

Katanya, purata yuran pengajian untuk setiap pelajar di universiti itu adalah RM28,000, tidak termasuk elaun sara hidup yang meliputi asrama iaitu RM4.50 sehari.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata dengan membayar sendiri sedikit yuran, pelajar akan menghargai ijazah diperoleh, berbanding jika ia diperoleh secara percuma kerana nilainya susut.

Katanya, ia bukan soal kemampuan kerana kerajaan ketika ini sudah pun membiayai 85 hingga 95 peratus daripada yuran pengajian setiap penuntut IPTA dalam bentuk subsidi.

“Kita lebih menghargai sesuatu jika ia diperoleh dengan sedikit cabaran dari aspek pembayaran yuran, berbanding jika ia diberikan secara percuma seperti dicadang pembangkang,” katanya.