login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
6:10
13:30
16:47
19:29
20:39
SMS waktu solat
... kawasan lain
Khamis , 23 Februari 2012
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Ratu
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Tekad Rossalwani
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/04/19

Jadikan kelemahan sebagai kekuatan diri

“SEKIRANYA saya muncul sebagai juara, saya ingin menyumbangkan wang berkenaan kepada rumah anak yatim kerana saya tahu bagaimana perasaan kehilangan orang disayangi,” kata Rossalwani menguntum senyum ceria ketika diajukan soalan mengenai pilihan rumah kebajikan bagi pertandingan Wanita Pilihan Berita Harian 2010 (WPBH2010) yang akan berlangsung pada awal Jun ini.

Rossalwani Deraman, 26, membuktikan anak yatim mampu hidup ceria dan melakar impian sekiranya tidak terlalu mengikut perasaan sendiri. Bekerja sebagai ahli geosains, pada masa sama menjadi penyanyi sambilan membuktikan, beliau mampu merealisasikan impian dalam hidup yang serba kekurangan, asalkan ada usaha ke arah itu.
Kejayaannya yang bersulam perwatakan ceria itu tidak keterlaluan menjadi tarikan kepada juri memilihnya hingga ke peringkat separuh akhir lantas berentap dengan 12 finalis lain pada WPBH2010 yang dijadualkan berlangsung awal Jun depan.
Juara berpeluang merebut hadiah wang tunai bernilai RM10,000 selain sebahagian sumbangan disalurkan ke rumah kebajikan terpilih.

Rossalwani atau lebih mesra digelar Rossa, bukti kehebatan wanita yang mampu melalui getir hidup atas fikiran positif. Lebih menarik, apabila beliau memikirkan walau apapun masalah ibu bapa, itu hanyalah antara mereka berdua. Sementara, anak bertanggungjawab membina masa depan sendiri dengan cemerlang, pada masa sama menjaga kebajikan mereka ketika hari tua kelak.

Katanya, sebagai anak bertanggungjawab jangan terlalu mengikut emosi berhadapan masalah ibu bapa, sebaliknya jadikan ia sebagai cabaran untuk membina masa depan sebaik mungkin dan kalau boleh mencipta bahagia sekiranya membina rumah tangga kelak.

“Ibu bapa saya bercerai ketika saya berusia 9 tahun dan selepas itu saya dibesarkan oleh ibu. Pada masa itu kehidupan saya memang agak susah kerana dengan pendapatan tidak seberapa, ibu berusaha membesarkan kami seramai tujuh orang adik-beradik. Enam tahun selepas perceraian itu, bapa pula meninggal dunia.
“Saya tidak pernah mendapat kasih sayang daripada seorang bapa. Ibu saya yang bersusah payah membesarkan kami adik-beradik. Dalam diam saya amat mengagumi sikap ibu yang cukup berdedikasi selain memberikan komitmen tingginya menyara hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Namun, di sebalik apa yang berlaku, Rossa bertekad untuk membuktikan dirinya juga mampu berjaya seperti orang lain.

“Saya menjadikan kekurangan diri sebagai satu kelebihan. Dulu, saya sering tertanya-tanya mengapa keadaan saya tidak seperti orang lain yang mana ibu bapa tidak tinggal serumah. Tetapi apabila masa berlalu dan saya semakin dewasa, saya pasrah dan yakin apa yang berlaku di sebaliknya, ada hikmah. Oleh itu, saya amat berharap suatu hari saya mampu menyumbang kepada kanak-kanak yatim kerana kami berada di dalam situasi yang sama.

“Saya memahami keadaan mereka yang memerlukan kasih sayang, perhatian dan sokongan supaya mereka tidak tercicir dalam mengejar masa depan. Kerana apa yang mereka lalui sama seperti apa yang pernah lalui. Saya menyeru kepada masyarakat supaya bersikap prihatin dan jangan sekali-kali membiarkan mereka iaitu anak yatim, meneruskan hidup tanpa arah tujuan ataupun mempunyai perasaan rendah diri terhadap orang lain. Bagi saya, kita perlu membimbing dan memberi semangat kepada mereka kerana tiada siapa lagi yang dapat diharapkan selain daripada kita,” katanya.

Rossa berkata, sekiranya sumbangan bukan dari segi wang ringgit, menjadi ikon dan contoh kepada mereka untuk berjaya dan membentuk hidup yang jauh lebih bagus, sudah amat memadai.

“Walaupun kita tidak mempunyai ibu, bapa atau kedua-duanya sekali, namun itu semua bukanlah alasan untuk kita membuktikan kepada dunia yang kita mampu berjaya,” katanya yang berhasrat menyalur sumbangan kepada Persatuan Kanak-kanak Yatim (Perkaya) di Marang, Terengganu sekiranya muncul sebagai juara.

“Saya memilih Pertubuhan ini kerana sebagai seorang wanita yang kehilangan bapa sejak kecil saya amat memahami perasaan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau kedua-duanya sekali. Mereka amat memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada kita dan tiada siapa yang dapat memahami apa yang kami lalui. Justeru, saya ingin menyumbang sesuatu kepada pertubuhan berkenaan, bukan saja wang ringgit tetapi kata-kata semangat dan dorongan supaya mereka boleh meneruskan hidup tanpa berasa kekurangan,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, bekerja sebagai geosains dalam industri minyak sudah tercapai, bagaimanapun untuk tempoh masa setahun dua lagi, beliau merancang untuk menjadi ketua projek.

“Justeru, saya harus menyediakan diri dengan segala pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi cabaran berkenaan. Perancangan jangka panjang, saya ingin menjadi seorang geosains kanan, selain menyumbang sesuatu kepada masyarakat pada masa depan,” katanya.

Menjadikan mendiang Puteri Diana sebagai tokoh wanita dikagumi, lantaran sumbangannya kepada masyarakat menerusi kerja kebajikan yang membolehkan beliau dekat dengan rakyat dan memahami apa yang mereka lalui, Rossa turut menyarankan supaya wanita tempatan turut menyertai kerja sukarela.

Katanya, wanita seharusnya terbabit dalam kerja sukarelawan supaya mereka lebih rapat dengan masyarakat, selain mengerti penderitaan atau kepayahan dialami orang lain yang lebih sukar, dan tidak sekadar melihat sebagai orang luar.

“Kerja sukarela dapat membentuk peribadi kita menjadi lebih sensitif dan prihatin selain dapat mematangkan diri. Sementara itu, saya fikir seseorang wanita itu perlu bekerja. Ini kerana sebagai wanita, kita tidak seharusnya mengharapkan lelaki seperti suami untuk menyara hidup kita sepenuhnya. Kita perlu bersikap berdikari dan tidak mengharapkan dari sesiapa. Apabila kita bekerja, banyak pengalaman dan kemahiran yang dapat di peroleh, sekali gus dapat membentuk diri kita supaya menjadi lebih produktif. Sekalipun kita mempunyai suami jangan mengharapkannya untuk menyara hidup kita, sebaliknya harus bersedia untuk apa saja kemungkinan yang bakal muncul. Apabila bekerja, kita sudah mempunyai asas yang kukuh tanpa mengharapkan sesiapa,” katanya.
Seperti finalis lain, Rossa turut mengharapkan gelaran juara kerana selain dapat menyalurkan sebahagian wang kemenangan kepada pertubuhan kebajikan pilihan dan turut berharap gelaran WPBH membantunya membentuk keperibadian lebih baik.

“Saya fikir pertandingan ini dapat membantu membina masa depan dengan memberikan saya lebih keyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat sama ada di tempat kerja atau di luar. Selain menyediakan landasan membantu golongan kurang bernasib baik seperti kanak-kanak yatim.

“Mungkin segelintir ingin menjadi selebriti atau artis menerusi pertandingan ini, tetapi tidak bagi saya. Saya, sebaliknya mahu menjadi contoh kepada kanak-kanak yatim. Saya ingin mereka menyahut cabaran hidup dan membuktikan yang mereka boleh berjaya seperti manusia lain dan jangan menjadikan kekurangan itu sebagai suatu penghalang. Malahan mereka boleh menjadi lebih berjaya berbanding orang lain. Lagipun, sekiranya saya ingin menjadi artis, seharusnya saya menyertai pertandingan nyanyian atau program realiti televisyen,” katanya.
Menyentuh mengenai persediaan menjadi personaliti yang memerlukan individu itu bersifat positif, mempunyai disiplin tinggi dan sentiasa dilihat baik oleh masyarakat, Rossa bersedia.

“Ya, saya bersedia untuk menghadapi cabaran ini. Seperti yang saya katakan, saya ingin menjadi contoh walaupun banyak lagi mengenai diri saya yang mungkin patut di perbaiki. Namun, apa-apa perkara positif mengenai diri saya, semestinya ingin dikongsi bersama orang lain dengan harapan dapat memotivasikan mereka. Dan saya juga sentiasa bersedia untuk memperbaiki diri saya supaya menjadi lebih baik. Kerana tiada manusia yang sempurna, apa yang kita boleh lakukan ialah mengubah atau memperbaiki diri kita setiap masa.


SERTAI KAMI DI FACEBOOK
Artikel Lain
iklan iklan
iklan

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker