Ipoh: Gagal mengawal tekanan di tempat kerja dipercayai antara punca seorang pegawai kesihatan bertindak melulu menyerang ketuanya, Pengarah Hospital Taiping, Dr Mohd Yassim Abdul Rahman, di hospital itu pagi kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata suspek yang berusia 53 tahun dan bertugas di Jabatan Pengimejan hospital itu menyerah diri di Balai Polis Taiping kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
“Setakat ini, siasatan polis menjurus kepada isu berkaitan salah faham di tempat kerja selain faktor suspek yang tidak dapat mengawal perasaan,” katanya di sini, semalam.

Parah ditetak

Kelmarin, Dr Yassim, 54, parah ditetak suspek menggunakan parang panjang, selepas pertemuan di sebuah bilik di hospital itu, jam 10.30 pagi.

Shukri berkata, Dr Yassim masih dirawat di Hospital Selayang, Selangor, dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, ketika dihubungi pula mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri menyiasat insiden itu.