KUALA LUMPUR: Kegelisahan penumpang teksi wanita
berhubung keselamatan mereka kini berakhir dengan pelancaran projek 'Teksi
Wanita'.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kei berkata fasa perintis projek itu, dengan kerjasama ABEX Manufacturing Sdn Bhd, akan menyasarkan 400 teksi beroperasi secara 'on-call' di sekitar Lembah Klang


secara berperingkat.
"Setakat ini, kami telah ada 50 pemandu teksi wanita dan kita menggalakkan
mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini, terutama suri rumah, ibu
tunggal dan pesara," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari
Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan
di sini hari ini.
Beliau berkata teksi itu akan dipandu oleh wanita dan bersedia memberi perkhidmatan kepada penumpang wanita yang bersendirian atau membawa anak agar
mereka dapat menjalankan urusan harian dengan selesa serta lancar.
"Sehingga kini, terdapat tiga buah syarikat iaitu Destination Transport,
Zalnas Sdn Bhd serta Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya yang boleh
dihubungi bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut," katanya.
Heng juga meminta golongan wanita yang berminat membawa teksi menghubungi
ABEX untuk keterangan lanjut dan latihan serta kursus akan diberikan.
"Projek ini juga secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada
golongan wanita bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah yang berpendapatan
rendah," katanya.
Beliau berkata penumpang boleh mengenal pasti teksi tersebut dengan stiker
khas iaitu TeksiWanita yang dilekatkan pada kenderaan.
"Penumpang juga boleh menghubungi talian 03-80240507, 03-26926000 dan
03-88884020 untuk mendapatkan pemandu wanita," katanya.
Dalam perkembangan lain, Heng berkata dianggarkan seramai 10 wanita menjadi
mangsa pelbagai bentuk keganasan setiap hari di Malaysia manakala 60 peratus
yang terselamat dalam kes itu mengalami depresi teruk sehingga cenderung untuk
membunuh diri.
"Ini membuktikan bahawa masih wujud di zaman ini kelompok manusia yang
melakukan kezaliman dan penindasan terhadap wanita bagi membuktikan kekuatan dan
kekuasaan mereka," katanya.C-- BERNAMA