Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu akan menganjurkan pertandingan Citra Bot Berhias sempena perasmian Payang Walk berhampiran Pasar Kedai Payang, di sini 6 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pertandingan berkonsepkan pelancongan itu bakal disertai semua Pejabat Daerah di negeri ini serta beberapa jabatan kerajaan.
Keunikan daerah

Bagi daerah, terpulang kepada mereka apa yang ingin ditonjolkan untuk menepati tema keindahan dan kebudayaan di daerah masing-masing selari dengan konsep Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Mereka juga boleh memasukkan elemen Satu Daerah Satu Industri untuk menampilkan keistimewaan daerah masing-masing yang boleh menarik kedatangan pelancong, katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri Kementerian Pelancongan Terengganu dan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, di sini semalam.

Sultan Mizan rasmi pertandingan

Beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan merasmikan pertandingan itu yang juga diadakan sempena sambutan hari keputeraan baginda.
Mengenai promosi makanan tradisional Terengganu di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Abdul Rahin berkata, promosi itu mendapat sambutan menggalakkan.

Sepanjang promosi selama dua minggu itu, empat menu diketengahkan dan bertukar ganti setiap hari, termasuk makanan tradisional, antaranya nasi dagang, singgang sotong, ayam kerutub Terengganu, gulai tulang rawan Terengganu dan telur itik masak lemak, katanya.

Katanya, bagi mengekalkan keaslian dan kualiti rasa makanan, chef dari
Terengganu ditugaskan memasak makanan tradisional terbabit sepanjang promosi berlangsung dan kerajaan negeri yakin sambutan hangat terhadap makanan tradisi negeri ini akan berterusan dengan kedatangan pelancong sempena TMT 2013.

BERNAMA