KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu kini menggunakan 'google' bagi mengesan penerokaan tanah kerajaan secara haram di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata ini adalah satu pendekatan baru kerajaan negeri dalam usaha untuk mengatasi masalah itu.
"Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sentiasa membuat pemantauan melalui google," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Ahmad berkata mulai tahun ini, kerajaan negeri Terengganu akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam penerokaan tanah haram bagi menghentikan perbuatan itu di negeri ini.

Beliau juga berharap tidak ada kakitangan kerajaan terbabit dalam penerokaan tanah haram kerana tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang didapati berbuat demikian.

"Setiausaha Kerajaan sudah mengeluarkan surat pekeliling bagi mengingatkan kakitangan kerajaan supaya tidak terbabit dengan penerokaan tanah haram ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata kerajaan negeri telah memproses dan menyelesaikan 99.82 peratus permohonan bagi tanah haram yang diteroka di Terengganu sehingga tahun ini.
Beliau berkata kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 9,916 permohonan dalam tempoh tiga tahun dan bakinya dijangka diselesaikan menjelang Februari depan.

Ahmad juga berkata kerajaan pusat akan mengambil balik tanah seluas 27 hektar di Kampung Guntong dan Kampung Tasik Setiu untuk projek membina serta menyiapkan lencongan banjir dan kerja-kerja berkaitan saliran dan pengairan.

Beliau berkata ia membabitkan kos sebanyak RM1.8 juta dan 120 lot tanah penduduk di kedua-dua kampung.

"Projek itu boleh mengelak masalah banjir yang berlaku saban tahun membabitkan kedua-dua kampung itu," katanya. - BERNAMA