Terus sokong kerajaan: TPM Muhyiddin bersama isteri beramah mesra dengan tetamu Majlis Rumah Terbuka Krismas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.
Muhyiddin mahu rakyat pastikan capai negara maju 7 tahun lagi

Kuala Lumpur: Rakyat diminta terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan hasrat mencapai status negara maju yang hanya tinggal tujuh tahun, dicapai menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata negara berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju hasil usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang berjaya melonjakkan pencapaian ekonomi negara.
Katanya, melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP), kerajaan bukan saja berjaya mencatat hasil pelaburan memberangsangkan, malah rakyat mendapat nikmat daripada kemakmuran ekonomi.


“Ekonomi negara berkembang pesat dengan mencatat pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding 4.9 peratus sebelumnya. Insya-Allah, dengan ekonomi domestik yang dijangka bertambah kukuh, kita dapat memacu pertumbuhan ekonomi lebih pesat pada 2013.

“Nilai pelaburan bagi 149 projek menerusi 152 projek pemula sudah diumumkan sehingga kini bernilai RM212 bilion di mana projek ini berpotensi mewujudkan lebih 410,000 peluang pekerjaan baru menjelang 2020.

Antara paling kompetitif


“Kita bersyukur kerana hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan dan swasta untuk meningkatkan daya saing negara, kini kita berada di tangga ke-14 dalam senarai negara paling kompetitif di dunia berdasarkan penarafan IMD World Competitive Ranking,” katanya berucap pada Sambutan Tahun Baru 2013, di Dataran Merdeka, malam tadi.
Muhyiddin berkata, selaras prinsip kerajaan mendahulukan rakyat, sebanyak 4.1 juta isi rumah akan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi meringankan beban serta kos sara hidup disamping memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Terdahulu, Muhyiddin memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2012 di Dataran Merdeka di sini, yang dihadiri lebih 10,000 rakyat berbilang bangsa, serta pelancong luar negara.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan dapat mempertahankan prinsip pemerintahan bersifat inklusif kerana persefahaman yang wujud antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; isteri beliau, Datin Seri Masnah Rais; Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Ketua Biskop Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam.

Perlembagaan jamin hak


Timbalan Perdana Menteri berpendapat kebebasan rakyat amalkan kepercayaan agama masing-masing secara aman dan harmoni seperti dijamin Perlembagaan adalah asas perpaduan negara ini.