Mutakhir
Thaipusam: KTMB sedia tren tambahan semua sektor
2012/01/31
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan tambahan bagi semua sektor serta tren ulang-alik antara stesen Kuala Lumpur dan Batu Caves mulai 6 hingga 8 Februari depan sempena perayaan Thaipusam.
Pengurus Besar (Perkhidmatan Komuter) KTM Bhd, Mohd Hider Yusoff@Othman, berkata perkhidmatan tren disediakan bagi perjalanan terus dari laluan Kuala Lumpur-Batu Caves-Kuala Lumpur.
"Perkhidmatan Komuter tambahan pula membabitkan sektor Rawang-Kuala Lumpur-Rawang, Seremban-Kuala Lumpur-Seremban dan sektor Pelabuhan Klang-Sentul-Pelabuhan Klang, dengan masing-masing dua perkhidmatan pada waktu malam dan awal pagi, dengan kekerapan setiap 30 minit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Perkhidmatan tren komuter tambahan untuk laluan ulang-alik antara Rawang-Kuala Lumpur bermula 11.45 malam dan berakhir 1.45 pagi, manakala laluan Kuala Lumpur-Rawang pada 12.50 tengah malam hingga 4.50 pagi.
Bagi perkhidmatan ulang-alik Seremban-Kuala Lumpur, tren bermula pada 11 malam dan berakhir 1 pagi manakala perjalanan ke Kuala Lumpur-Seremban bermula 11.54 malam dan berakhir pada 3.54 pagi.
Perkhidmatan tren bagi Stesen Pelabuhan Klang-Batu Caves bermula pada 11.05 malam dan berakhir 1.05 pagi manakala bagi perjalanan dari Batu Caves ke Pelabuhan Klang bermula pada 11.05 malam dan berakhir 3.05 pagi.
Perkhidmatan tren ulang-alik bagi laluan Kuala Lumpur-Batu Caves-Kuala Lumpur disediakan dengan kekerapan 15 minit.
Perjalanan tren KTMB dari stesen Kuala Lumpur-Batu Caves untuk 3 hari berkenaan bermula seawal 6.25 pagi, manakala bagi 7 dan 8 Februari, tren bermula pada 12.25 pagi.
Tren terakhir pada 6 dan 7 Februari ialah pada 11.55 malam dan 8 Februari pada 2.55 pagi.
Bagi perkhidmatan stesen Batu Caves - Kuala Lumpur pada 6 Februari, tren bermula seawal 5.55 pagi dan terakhir pada 11.55 malam, tren beroperasi pada 7 dan 8 Februari pada jam 12.25 tengah malam dan perjalanan terakhir bagi kedua-dua hari tersebut pada 11.55 malam dan 3.25 pagi.
Mohd Hider berkata, ia adalah tahun kedua KTMB membuka stesen Batu Caves dengan sebanyak 182 tren tambahan disediakan dan akan beroperasi secara ulang-alik antara Kuala Lumpur-Batu Caves dengan kekerapan setiap 15 minit.
"Selain itu, perkhidmatan tren dengan kekerapan biasa 30 minit juga diteruskan ke Batu Caves dan setiap tren mempunyai kapasiti 500 penumpang," katanya.
Beliau menjangkakan, lebih 100,000 orang menggunakan perkhidmatan Komuter pada Hari Thaipusam dan bagi memastikan kelancaran serta keselesaan penumpang, KTMB menyediakan 100 petugas tambahan terdiri daripada kakitangan KTMB, jabatan keselamatan, logistik dan jabatan operasi.
Hider berkata, seramai 200 petugas dari agensi luar seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah akan bertugas di stesen utama seperti Kuala Lumpur, Batu Caves, Seremban, Klang, Shah Alam dan Subang Jaya.
Turut hadir, pada sidang media itu Pengurus Wilayah Tengah (Ipoh-Seremban)KTMB, Md Rusli Md Noor yang memberi taklimat ringkas mengenai laluan penumpang.
Perkhidmatan itu akan berjalan 24 jam tanpa henti dan beroperasi selama tiga hari berturut-turut sempena perayaan Thaipusam.
KTMB menasihati penumpang agar bertanggungjawab terhadap keselamatan diri, keluarga dan barangan yang dibawa selain menyarankan mereka membeli tiket perjalanan dua hala bagi mengelak kesesakan ketika perjalanan pulang.
Selain itu, KTMB turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya bagi menyediakan tandas awam bergerak.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi KTMB di talian 03-2267 1200. - BERNAMA