Mutakhir
Trafik di Lebuhraya Utara-Selatan bergerak perlahan
2012/01/27
KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan semakin bertambah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tengah hari ini dengan kesesakan dilaporkan di beberapa laluan.
Jurucakap PLUSLine ketika dihubungi hari ini berkata, trafik bergerak perlahan menuju ke ibu negara berikutan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Tahun Baru Cina.
"Trafik bergerak perlahan antara Seremban dan Nilai berikutan jumlah kenderaan yang banyak," katanya.
Beliau berkata, berlaku kesesakan antara Bidor dan Slim River berpunca daripada kemalangan kecil namun tidak membabitkan kematian.
"Ia hanya kemalangan kecil iaitu terlanggar belakang kereta dan kini kenderaan bergerak pada kelajuan 60km/sejam hingga 70km/sejam," katanya.
Sementara itu, laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia melaporkan trafik bergerak perlahan di utara (Lebuhraya Utara-Selatan) menghala dari Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, Gopeng ke Tapah dan Bidor ke Sungkai. - BERNAMA