Trend kad jemputan
Rekaan lebih kontemporari, pelbagai bentuk mengikut cita rasa mempamerkan kreativiti si pengirim

Dulu apa kad undangan atau jemputan untuk sesuatu majlis sama ada perkahwinan, hari jadi atau majlis pelancaran sesuatu produk, barangan atau pengisytiharan mengenai syarkat atau jenama dihantar kepada pengirim menerusi pos dalam sampul surat.
Barisan ayat dalam kad undangan itu tertulis dengan jelas mengenai apakah tujuan majlis diadakan bersama tarikh, masa dan tempat. Sesetengahnya disertakan peta lokasi majlis diadakan.

Zaman berubah. Seiring dengan fesyen terkini rekaan unik menambahkan lagi detik-detik mengenai sesuatu majlis diadakan dengan bayangan yang diutuskan menerusi kad jemputan.

Sekarang, seakan menjadi trend kini, contohnya, agensi perunding perhubungan awam menghantar banyak kad undangan sesuatu majlis kepada media massa dengan kaedah lain, iaitu bukan menggunakan kad yang diletakkan di dalam sampul surat.

Namun, sebaliknya mereka menghantar dalam pelbagai bentuk begitu kreatif. Sesetengahnya dalam bentuk kotak, belon, balang kaca, botol, kemeja T dan sebagainya yang di dalamnya diletakkan maklumat mengenai butiran majlis diadakan.

Kad undangan disebarkan bukan saja menjadi pencatat masa, lokasi dan tarikh majlis atau acara, tetapi turut mencatatkan permulaan detik indah perlu diingati semua sekali gus bertindak memberikan gambaran awal buat tetamu.
Aliran fesyen jemputan

Peredaran aliran jemputan masyarakat dilihat semakin rancak berbanding suatu masa dulu. Jika dulu kad jemputan diedarkan bertujuan menjemput ke majlis perkahwinan dan ulang tahun atau sebaliknya ucapan meraikan ulang tahun, tapi kini ia dilihat sebagai pengantara mengeratkan hubungan.


Jemputan diedarkan juga bukan setakat penyataan untuk acara majlis bakal berlangsung, namun mencerminkan suasana dan tema keseluruhan majlis bakal diraikan. Oleh itu, ia perlulah dilakukan dengan lebih terperinci selain tambahan maklumat untuk tetamu yang bakal memeriahkan lagi suasana.

Laporan dikeluarkan dalam satu majalah kreatif, Penyelaras Pasaran Bahagian Rekaan Peralatan Anna Griffin, Kate Wells, berkata trend kad jemputan masa kini lebih meriah dan unik malahan cita rasa pengirim juga berubah sering perkembangan industri rekaan itu.

“Pasaran kini memperlihatkan warna ceria dan terang lebih menjadi tumpuan berbanding penampilan lembut atau formal. Tidak kurangnya rekaan kontemporari turut melahirkan aliran baru untuk industri kad jemputan, iaitu permintaan terhadap mainan rekaan juga semakin pesat.

“Tidak kurangnya, tambahan rekaan berbutang, manik, reben dengan kertas pelbagai tekstur dan corak timbul pada kad.

“Setiap individu pasti mahu yang terbaik untuk pelancaran atau sebaliknya majlis mereka. Oleh itu, pelbagai seni rekaan disematkan untuk memberikan kepuasan kepada semua sekali gus menepati tema,” jelasnya.

Jemputan Couture

Undangan diedarkan sebagai penanda kepada tarikh istimewa, lantaran jangan sesekali teragak-agak untuk bermain dengan idea kreatif bagi menyuarakan hasrat anda menerusi kehalusan seni itu.

Pesanan ringkas dikirimkan melalui kad ditempah kepada mengirim seharusnya mampu menerapkan konsep dan tema majlis supaya tetamu hadir dapat merasai bayangan digambarkan mereka.

Biarpun warna asas seperti putih atau putih susu dan hitam masih menjadi sebahagian daripada ikutan, tetapi kad jemputan kini turut menyediakan kepelbagaian cita rasa menerusi rekaan seperti kad tekap berbunga, wangi, warna tema, sentuhan cetakan jalinan rona dengan tekstur dan material kertas berbagai atau sebaliknya pop-out yang cukup menyeronokkan.

Membuatkan kehadiran jemputan lebih dihargai, kad tempahan turut tampil sebagai bahan koleksi sesetengah pihak yang sukakan kreativiti dan dijadikan contoh untuk majlis seterusnya.

Tempahan khas juga membolehkan pengirim menambah elemen tertentu termasuk gabungan susunan abstrak dan abjad pelbagai corak sekali gus ungkapan indah menghiasi ruangan kad jemputan pengirim itu sendiri.

Sentuhan kad undangan

Kad diedarkan masa kini juga tidak kurangnya diberikan nafas baharu menerusi gabungan aksesori, potongan dan pilihan warna yang menarik tumpuan.

Revolusi terkini memperlihatkan kad jemputan masih memainkan peranan sebagai menyampai maklumat biarpun dunia teknologi semakin canggih malahan ringkas dan cepat untuk tujuan undangan.

Berbanding sekitar 1970, kad undangan yang di sampai lebih ringkas dengan pendekatan maklumat khusus digabungkan bersama mainan warna sama ada putih atau krim serta tulisan hitam.


Seiring kecanggihan teknologi komputer dan digital, kad undangan atau jemputan dihantar tidak lagi membosankan biarpun ia cukup ringkas. Penulisan yang diedarkan juga menangkap perhatian penerima bahkan melahirkan keinginan untuk menguraikan sendiri majlis bakal dihadiri kelak.

Bermula daripada pilihan rekaan, trend kad undangan juga mula mempersembahkan jemputan dalam bentuk video cakera padat (VCD), iaitu visual menjadi tunggak utama memberikan penjelasan kepada tetamu. Selain itu, mainan grafik dan video juga banyak diterapkan.

Maklumat penting

Penyembahan kad undangan atau ucapan memang memainkan peranan penting sebagai penyebar maklumat klasik biarpun ia diberikan bermacam sentuhan kontemporari.
Dalam keasyikan memainkan elemen kreatif, anda perlu juga memberi fokus kepada beberapa perkara antaranya nama, tarikh, nombor dan tempat.

Kehadiran tetamu juga memainkan peranan penting supaya anda dapat menguruskan kedudukan mereka sekali gus menyediakan hidangan yang mencukupi untuk semua. Jika anda bakal meraikan majlis lebih santai atau parti, pastikan juga tema atau keperluan diletakkan supaya tetamu dapat bersedia.

Di samping itu, pilihlah gaya penulisan yang mudah difahami semua agar tidak mendatangkan kekeliruan kepada tetamu. Mainan sentuhan warna kontra pada tulisan juga membantu tetamu memberikan perhatian lebih pada maklumat penting. Hantarkan undangan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal daripada tarikh majlis.

Biarpun satu masa dulu kad undangan kurang diberikan pendedahan dan ia hanya diedarkan untuk menghebahkan jemputan hari istimewa saja, namun kini ia menjadi salah satu keperluan untuk mendekati hati orang ramai.

Rekaan diketengahkan juga membolehkan tetamu membayangkan keindahan majlis apatah lagi lebih bersedia untuk merealisasikan impian yang terpendam sehingga bertemunya hari istimewa itu.

INFO: Cir-ciri kad undangan
* Kad jemputan berpoket - Berperanan sebagai pemegang kad. Sediakan peta dan maklumat lain yang bersesuaian daripada pengirim.

* Lapis dan peringkat - Koleksi ini juga membenarkan pengirim menyediakan himpunan kata-kata indah dan susunan huruf lebih menarik dan bebas.

* Rekaan tempahan khas - Idea dan kreativiti dapat diperlihatkan menerusi rekaan persendirian ini. Tidak hanya itu, konsep dan tema majlis juga dapat dikaitkan menerusi tempahan.

* Warna terang - Sememangnya pandangan mata akan tertarik pada warna lebih terang dan menyerlah. Gabungan warna ceria menimbulkan lagi suasana gembira.

* Bergambar atau perincian - Kad grafik dengan corak atau perincian menarik mampu membuatkan penerima menghargai kiriman itu.