Port Dickson: Dakwaan pihak yang menyatakan harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang kini menurun sedikit disebabkan pihak pengurusan kurang cekap adalah tidak benar.

Malah, penurunan harga saham berkenaan berbanding sebelum ini membuktikan pergerakannya positif apabila prestasi semakin aktif.
Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, berkata harga pasaran saham yang tidak menentu adalah perkara biasa bagi semua syarikat sekali gus membuktikan berlaku urus niaga.

“Memang harga saham jatuh sedikit berbanding sebelum ini tetapi dakwaan sebuah blog yang mengatakan puncanya kerana pengurusan FGV tidak cekap itu salah.

Mampu beri keuntungan

“Semua syarikat pasti akan berlaku masalah harga saham naik dan turun kerana ini perkara biasa dalam sesuatu perniagaan. Tetapi jika ada pihak yang memandang perkara ini sebagai politik, sudah tentu ia berlaku sebaliknya.

“Saya percaya FGV mampu memberikan keuntungan yang baik pada masa akan datang berdasarkan prestasinya yang aktif memandangkan kita ada pihak pengurusan yang baik,” katanya pada sidang media selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Baru Sirusa di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata, pemberian saham kepada peneroka FELDA di negara ini menunjukkan kerajaan prihatin dan mahu membantu nasib mereka.
Namun katanya, peneroka tidak digalakkan menjual saham yang diperoleh walaupun mempunyai hak untuk menjualnya.