Pembekal komponen tempatan diberi peluang miliki teknologi baru

UMW Toyota Motor Sdn Bhd akan melaksanakan program pemasangan tempatan (CKD) model Toyota Camry di kilang pengeluarannya di Shah Alam dalam tempoh dua tahun lagi.
Bagi tujuan berkenaan, syarikat kerjasama Malaysia-Jepun itu semalam mengumumkan pelaburan berjumlah RM100 juta selain menawarkan pemindahan teknologi pembuatan komponen kenderaan dari Jepun yang paling berkualiti kepada syarikat pembekal komponen tempatan terpilih untuk digunakan dalam pemasangan model itu.

Presiden UMW Toyota Motor, Kuah Kock Heng, berkata selain menawarkan peluang pemilikan teknologi baru kepada syarikat tempatan, program CKD itu turut dilaksanakan untuk memanfaatkan insentif yang ditawarkan kerajaan di bawah Dasar Automotif Nasional (DAN) yang menjanjikan banyak kelebihan kepada syarikat automotif asing yang melaksanakan CKD di negara ini, khususnya bagi model kenderaan berkuasa 1,800 CC ke atas.

Beliau berkata, memandangkan Camry memiliki kapasiti enjin sedemikian, pelaksanaan program CKD model itu di negara ini amat bertepatan sekali selain berupaya membantu memastikan daya tahan serta daya maju jangka panjang bagi industri automotif tempatan.

“Camry yang dipasarkan di negara ini ketika ini dibawa masuk dari Thailand dan melihat kepada peningkatan permintaan yang ketara terhadap model itu di Malaysia, kami akan melaksanakan program CKD untuk model itu selain ingin mengambil peluang daripada insentif yang ditawarkan kerajaan menerusi DAN yang diumumkan Oktober tahun lalu.

“Kami (UMW Toyota Motor) bersama Toyota Motor Corporation di Jepun, kini sedang mengkaji dan membuat penilaian bagi merealisasikan rancangan CKD itu dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas sesi lawatan media ke kemudahan pengeluaran kenderaan Toyota, Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Shah Alam, semalam.
Hadir sama Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Takashi Hibi; Pengarah Kilang ASSB, Hideki Omae; dan Timbalan Pengarah Kilang ASSB, Fadzil Ismail.

Kuah berkata, program CKD itu hanya dikhususkan untuk jualan pasaran tempatan dan tidak akan dieksport.

Permintaan Toyota Camry di pasaran tempatan meningkat dengan ketara sekali dengan merekodkan jualan bulanan lebih 1,000 unit.

Sementara itu Kuah berkata, melihat kepada langkah kerajaan di bawah DAN untuk sentiasa menyokong operasi perniagaan syarikat automotif asing di Malaysia, UMW Toyota Motor juga komited meningkatkan pelaburannya dengan membuat penambahan sejumlah RM370 juta lagi.