U Mobile tawar produk inovatif Jaffa Sany (kiri) dan Yeoh pada pelancaran U Card di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Kamarul Izzat Rahim
Sasar tingkat pertumbuhan pelanggan 6.5 juta akhir tahun

U Mobile Sdn Bhd, pengendali telekomunikasi mudah alih 3G menyasar meningkatkan pertumbuhan pelanggan kepada 6.5 juta orang menjelang akhir tahun ini.
Ketua Eksekutifnya, Jaffa Sany Ariffin, berkata ia pertambahan daripada hampir lima juta pelanggan kini.

Ia katanya, akan dipacu penawaran barisan produk inovatif dari U Mobile termasuk pengenalan program mata ganjaran U Card.

“Langkah syarikat memperkenalkan produk mampu milik berjaya menarik golongan muda yang kini menjadi sebahagian besar daripada pelanggan U Mobile,” katanya selepas melancarkan U Card di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee dan Pengarah BLoyalty Sdn Bhd, Gary Yeoh.

U Card sebahagian program ganjaran terbaru U Mobile menerusi BCARD yang diperkenalkan hasil kerjasama dengan BLoyalty Sdn Bhd sekali gus menjadikannya operator pertama yang menawarkan program ganjaran seperti ini di Malaysia.
Menerusi program itu, pelanggan akan mendapat mata ganjaran apabila membeli sebarang produk dan membayar bil perkhidmatan U Mobile.

Kumpul mata

Selain itu, pelanggan boleh mengumpul mata di lebih 70 rakan niaga BCARD dan menebus ganjaran serta manfaat lain di 700 cawangan runcit di seluruh negara yang mana merangkumi produk makanan dan minuman (F&B), pakej percutian dan membeli-belah selain menebus pelbagai barangan eksklusif secara dalam talian.

Antara cawangan runcit ialah Starbucks, Kenny Rogers Roasters, Papa Johns, Chatime, Big Apple, Berjaya Hotel & Resort, Zalora dan Emas Seri Pinang.

Tanpa sebarang yuran tahunan, pemegang U Card juga mendapat diskaun istimewa bagi produk terpilih dan jemputan untuk menghadiri acara eksklusif keahlian U Mobile.

Bagi meraikan pelancaran U Card, untuk tempoh berakhir Oktober 2013, 50,000 pelanggan pertama yang mendaftar program ganjaran itu akan menerima 200 mata U Card percuma.

Selain itu, pelanggan bertuah berpeluang memenangi hadiah menarik seperti sejuta mata ganjaran U Card, 10 telefon pintar BlackBerry Z10 dan 10 pakej percutian tiga hari dua malam di Berjaya Langkawi Resort dengan tawaran berakhir Disember 2013.