Wanita UMNO pertaruh 33 calon Rosni Sohar (kiri) dan Hamidah Osman
Teruskan perjuangan selepas Ketua Wanita, Naib Ketua tak bertanding

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini menyaksikan dua pemimpin tertinggi Wanita UMNO tidak bertanding, sekali gus mencatat sejarah buat pergerakan itu yang mempunyai lebih 1.3 juta ahli.
Selepas Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak bertanding, nama Naib Ketua, Datuk Kamilia Ibrahim pula tiada dalam senarai calon yang diumumkan Barisan Nasional (BN), semalam.

Bagaimanapun, perjuangan Wanita UMNO diteruskan menerusi 33 calon, gandingan muka lama dan baru daripada pelbagai kriteria dan latar belakang termasuk profesional yang berpengalaman dalam pelbagai bidang.

Senarai calon

Senarai calon itu diketuai Setiausahanya, Datuk Rosni Sohar yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam; Ketua Penerangan, Datuk Hamidah Osman (DUN Sungai Rapat); Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan (DUN Muadzam Shah) dan Ketua Wanita Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar (DUN-Pilah).

Antara pemimpin Wanita UMNO lain tersenarai, termasuk Ketua Wanita Perlis, Rela Ahmad yang akan bertanding kali pertama di DUN Bintong, manakala Ketua Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jahara Hamid kekal mempertahankan kerusi DUN Telok Ayer Tawar.
Wakil Wanita bagi kerusi Parlimen pula, Ketua Wanita Pasir Gudang, Normala Abdul Samad (Pasir Gudang); Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar); Datuk Seri Azalina Othman (Pengerang), Datuk Dr Rozaidah Talib (Ampang); Adzhaliza Mohd Nor (Hulu Langat) dan Datuk Halimah Sadique (Tenggara).

Tidak dicalonkan

Sementara itu, Kamilia yang juga Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar yang sebelum ini disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Kuala Kangsar bagi menggantikan Tan Sri Rafidah Aziz, berkata walaupun tidak dicalonkan, ia tidak melemahkan semangat dan usahanya membantu parti.

“Saya tidak akan mengaku kalah dalam perjuangan,” katanya dalam nada agak kecewa dan terkejut dengan keputusan itu.

Sementara itu, Rosni berkata, pihaknya sedar ada segelintir pemimpin Wanita kecewa apabila tidak tersenarai sebagai calon, namun berharap mereka kembali kepada asas perjuangan parti dan reda dengan keputusan dibuat pucuk pimpinan.

“Presiden sudah buat yang terbaik, memilih calon dengan mengambil kira pelbagai aspek, sumber dan fakta, bukan berasas pencalonan daripada pemimpin tertinggi Wanita UMNO semata-mata. Oleh itu, mereka kena terima dengan hati terbuka, apa yang penting bantu BN menang besar demi menjamin masa depan negara lebih cemerlang,” katanya.