KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini merasmikan Masjid Usamah bin Zaid di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini.

Seri Paduka Baginda, yang diiringi anakanda ketiga baginda, Tengku Muhammad Mua’az, 9, kemudian bersolat Jumaat di masjid itu.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali; Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Masjid Usamah bin Zaid berharga RM36 juta mampu menampung sehingga 8,000 jemaah.

Jamil Khir dalam ucapannya berkata, segala kemudahan dan prasarana yang disediakan bukan saja sebagai tempat untuk menunaikan ibadah semata-mata tetapi juga berperanan sebagai sebuah institusi kemasyarakatan yang dapat menyatupadukan umat Islam dan memantapkan akidah dan jati diri ummah. - Bernama