Zakat mampu tangani masalah kemiskinan BH Online

Zakat mampu tangani masalah kemiskinan

2011/03/19

Bantuan berfungsi agih kekayaan secara seimbang bagi wujud keadilan sosial dalam masyarakat

ULAMA terkenal, Al-Sheikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, berkata kesan negatif disebabkan kefakiran dan kemiskinan boleh merosakkan akidah, moral, retaknya keluarga, masyarakat serta negara.

Miskin dari sudut bahasa bermaksud tidak berharta benda, serba kekurangan, melarat dan papa, manakala fakir pula bermaksud orang yang berpendapatan kurang daripada pendapatan orang miskin.

Secara umumnya, fuqaha’ berpandangan golongan fakir dan miskin adalah golongan yang tidak mempunyai harta atau sumber pendapatan mencukupi bagi sara hidup dirinya sendiri atau mereka di bawah tanggungannya.

Kemiskinan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kemiskinan fizikal (harta) dan kemiskinan mental (minda). Kebiasaannya, tahap kemiskinan itu dipandang dari sudut fizikal atau material saja iaitu kemampuan pendapatan, pemilikan tempat tinggal, pakaian dan kenderaan.

Mental miskin lebih kritikal jika dibandingkan dengan miskin harta dari segi impaknya kepada individu dan masyarakat. Kemiskinan mental berlaku apabila seseorang itu malas berusaha mencapai tahap selesa dalam hidup sebaliknya hanya bergantung kepada bantuan dan sumbangan orang lain.

Seseorang yang miskin mental kurang motivasi dan selesa dengan keadaan sedia ada. Jika diberi bantuan sekalipun, dia cenderung menghabiskan apa disumbangkan kegunaan pada masa itu, bukan berusaha menggunakannya untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Bagi mengatasi masalah kemiskinan, Islam sebagai agama syumul mengetengahkan instrumen zakat yang berfungsi untuk mengagihkan kekayaan secara seimbang bagi mewujudkan keadilan sosial dalam masyarakat.

Ini sejajar ajaran Islam yang mendukung prinsip ukhuwah, tolong-menolong, nilai kemanusiaan, keadilan sosio-ekonomi dan kebajikan ummah yang tidak dibatasi perbezaan warna kulit, bangsa, ekonomi atau sempadan geografi.

Individu yang dikurniakan Allah kekayaan dan pendapatan tertentu diwajibkan membayar zakat supaya dapat diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah serta tidak berkemampuan seterusnya membentuk masyarakat yang seimbang.

Zakat berupaya meningkatkan taraf hidup golongan kurang berkemampuan dengan memenuhi keperluan hidup mereka, seterusnya membolehkan mereka berdikari dan tidak lagi bergantung kepada sumbangan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW memberi peringatan kemiskinan hendaklah dihindarkan malah Baginda berdoa supaya dijauhkan daripada kefakiran: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kekufuran dan kefakiran.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sejarah membuktikan kemiskinan boleh diatasi melalui pengagihan dana zakat seperti berlaku pada zaman Rasulullah SAW, pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin serta Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz. Justeru, usaha lebih bersepadu dan komprehensif perlu dibuat institusi zakat bagi merealisasikan keberkesanan zakat untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan umat Islam.

Selaras usaha menangani masalah kemiskinan melalui dana zakat, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menganjurkan Seminar Zakat Serantau 2011 (SZS).

Seminar selama dua hari bermula 22 Mac ini dengan tema ‘Dana Zakat: Wasilah Pembasmian Kemiskinan Asnaf’ bertujuan untuk menghimpunkan para pemikir dan pentadbir dana zakat untuk menggembleng idea bagi menangani isu kemiskinan.

Antara aspek turut dibincangkan ialah mengenal pasti kekuatan dan peluang meningkatkan program serta aktiviti agihan sedia ada ke tahap lebih berkesan khususnya dalam membantu asnaf fakir serta miskin.

Perhimpunan yang bakal dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu juga bertujuan meningkatkan hubungan dan jalinan kerjasama antara anggota Sidang Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Sebanyak enam kertas kerja akan dibentangkan oleh pihak terbabit secara langsung dalam pengurusan dana zakat dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang memfokuskan mengenai pembasmian kemiskinan asnaf mengikut pengalaman negara masing-masing.

Seramai 200 peserta dijangka akan menghadiri seminar ini yang diharap akan membangkitkan kesedaran di peringkat serantau pentingnya usaha menangani kemiskinan umat Islam melalui pengu-rusan dana zakat secara komprehensif dan bersepadu.

Program dalam bentuk perkongsian pengalaman dan kerjasama serantau seperti ini wajar diteruskan lagi pada masa depan dalam usaha memperkasa sosio-ekonomi ummah amnya, dan membasmi kemiskinan umat Islam di rantau ini khasnya.

Penulis ialah Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR)