Jumaat, 14 Julai 2017 | 8:50pm

Gangguan air di Sepang, Hulu Langat Khamis depan

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di daerah Sepang dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air sementara selama 18 jam, bermula 8 malam pada 20 Julai hingga 2 petang, 21 Julai ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataannya berkata gangguan bekalan itu ekoran kerja-kerja penggantian perkakasan di Kolam Perkhidmatan Air Desa Putra.

Katanya, sebanyak 36 kawasan akan terjejas di Sepang, antaranya Puncak Pinggiran Putra; Taman Desa Utama Sungai Merab; Taman Desa Baginda; Taman Desa Sentosa Teras Jernang dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Bangi.

Turut terjejas ialah Institut Latihan Sultan Ahmad Shah; Universiti Tenaga Nasional; Institut Perguruan Islam Selangor; Taman Desa Fitri; Kampung Desa Putra; Seksyen 11 dan Seksyen 12 Bandar Baru Bangi; Taman Ayer Hitam Permai dan Kampung Orang Asli Bukit Dugang.

Sementara di Hulu Langat, sebanyak 11 kawasan terjejas iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia Lingkungan 1; Alam Sari; Petronas LLM (SKVE); Sekolah Antarabangsa Tanahrata; Apartmen Kelisa Ria Sungai Tangkas; German-Malaysian Institute (GMI); Taman Universiti; Taman Vista Emas; Taman Tropika 1 dan 2; Villa Tropika Apartmen dan Green Villa Apartmen Sungai Tangkas.

Sehubungan itu, Syabas menasihatkan pengguna supaya menyimpan air secukupnya sebelum kerja-kerja berkenaan dijalankan.

Pengguna juga boleh merujuk www.syabas.com.my dan aplikasi telefon bimbit pintar 'mySyabas' untuk maklumat terkini mengenai gangguan bekalan air itu. - BERNAMA

Berita Harian X