Kuching: Sejumlah 140 kerusi Parlimen yang majoriti pengundi Melayu di Semenanjung, dikenal pasti sebagai penentu sebenar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jayum Jawan, berkata dakwaan bahawa penentu kemenangan adalah 56 kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana ia hanya mewakili sebahagian kerusi saja.
Selain itu katanya, faktor kedua-dua negeri itu sering disebut sebagai penyumbang tetap kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional (BN) adalah kurang tepat kerana pengaruh pengundi Bumiputera kekal kuat.

Sokongan Melayu

“Kejayaan BN mengekalkan mandat pemerintahan selepas PRU-13 bergantung kepada sejauh mana parti itu mampu menarik semula sokongan pengundi Melayu. Faktor pengundi Melayu yang berpatah balik menyokong BN penting kerana parti itu pernah mendominasi sokongan Melayu Semenanjung.

“Bila BN sudah mampu tarik balik sokongan kumpulan itu, baru pengaruh pengundi Cina, India, Sarawak dan Sabah mainkan peranan. Saya menjangkakan BN tidak berdepan cabaran getir di Sarawak.

“Namun, saya melihat kemenangan kerusi kepada BN sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Sabah adalah 50-50,” katanya ketika ditemui sempena Karnival Profesor Turun Padang, di Sekolah Menengah Kebangsaan Paku, Bau di sini, semalam.
Sementara itu, Dr Jayum berkata, teka-teki tarikh pembubaran Parlimen tidak relevan diperkatakan lagi kerana mandat kerajaan hampir ke penghujungnya dan semua parti bertanding sepatutnya menjadikan tempoh singkat ini memperkasakan manifesto masing-masing.

“Bila tiba PRU-13 nanti, ‘floating voter’ (pengundi atas pagar) yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik juga memainkan peranan penting kerana mereka cukup selektif dan bijak memilih parti mana menjanjikan sesuatu yang realistik dan bukan janji bulan bintang,” katanya.