JAKARTA: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala 60 lagi cedera akibat hujan lebat dan angin kencang di Indonesia semalam. kata seorang pegawai semalam dengan mangsa siklon tropika kebanyakannya maut akibat dihempap pokok tumbang.

“Secara keseluruhan 14 orang maut, 60 cedera. Semua mereka terbunuh akibat dihempap pokok tumbang,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu teks mesej kepada AFP.
Beliau berkata lebih 2,300 rumah di 35 daerah dan bandar di seluruh pulau tengah Jawa dan destinasi percutian Bali turut musnah akibat hujan lebat sejak empat hari lalu, kata Nugroho.

“Angkin kencang dan hujan lebat dibawa oleh Ribut Tropika Iggy di Lautan Hindi, selatan Bali dan pulau Nusa Tenggara berhampiran,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata Iggy kini semakin lemah dan bergerak jauh dari Indonesia.”

Minggu lalu, akhbar Jakarta Globe melaporkan sebuah feri membawa lebih 200 orang termasuk lima warga Australia, menghala ke pulau Gili di luar pantai Bali hampir karam selepas dilambung gelombang setinggi tiga meter, namun tiada yang maut.

Ribut, tanah runtuh dan banjir adalah pemandangan biasa di Indonesia ketika musim hujan tahunan, yang memuncak antara Disember dan Februari.
Sementara itu, Ribut Tropika Iggy bergerak amat perlahan dan tidak dijangka menyerang pantai Barat Australia.

Biro Meteorologi berkata Iggy dijangka bergerak selatan atau tenggara semalam sebelum mengambil laluan barat daya hari ini.

Ribut tropika itu diramal bergerak cukup rapat untuk mencetuskan angin kencang di pantai antara Onslow dan Coral Bay namun angin itu kemungkinan tidak cukup kuat untuk menyebabkan kemusnahan.

Angin kencang dijangka berlanjutan ke selatan ke Carnarvon hari ini jika laluan Iggy hampir ke pantai, kata biro.

Gelombang lebih tinggi dan ombak besar berterusan di sepanjang pantai Pilbara dan Kimberley. – AFP/Agensi