Wanita, bekas banduan antara enam suspek ditahan dalam 2 serbuan

JOHOR BAHRU: Tangkapan sekumpulan enam suspek, termasuk seorang wanita di sekitar Skudai dan Gelang Patah di sini, menyelesaikan sekurang-kurang 15 kes samun jalanan dan pecah rumah sekitar Nusajaya.

Kumpulan ditumpaskan susulan serbuan Polis Nusajaya terhadap sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya pada jam 11.10 malam pada 9 November lalu dan menahan seorang bekas banduan berusia 20-an.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata tangkapan suspek itu membawa kepada penahanan empat lelaki lain dan seorang wanita berusia antara 19 dan 30 tahun di sekitar Gelang Patah.

“Susulan tangkapan enam ahli kumpulan itu, polis merampas beberapa barang dipercayai hasil samun dan pecah rumah, termasuk menemui semula sebuah Proton Wira yang dilaporkan hilang di Taman Perling.

“Antara barang dirampas 11 telefon bimbit; tiga kamera digital; sebuah walkman; tiga dompet; sebuah televisyen LCD dan pelbagai kunci kenderaan.

“Semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai kesalahan lampau dan pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Renggam serta dikenakan sekatan di Langgar, Kedah dan Kuantan, sementara seorang lagi mempunyai rekod kesalahan kes dadah di Johor Bahru,” katanya di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, semua suspek ditahan reman hingga 29 November ini untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 395, 397, 379(A) dan 457 Kanun Keseksaan.