Nasional
16,626 unit rumah PPRT siap Oktober
2010/07/30
GEMAS: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasarkan semua 16,626 unit rumah dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), yang mula dibina awal tahun ini akan siap sepenuhnya Oktober depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata projek berkenaan dengan kos RM431 juta daripada peruntukan RM18 bilion menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk tempoh tiga tahun akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 orang.
"Sehingga Jun lalu, sebanyak 2,496 rumah sudah siap dibina di seluruh negara, manakala 14,159 dalam proses pembinaan yang berjalan dengan lancar.
"Kita yakin pemberian rumah terbabit kepada golongan miskin serta miskin tegar dapat mengubah hidup mereka menjadi lebih baik dan berkualiti," katanya selepas merasmikan Program Bantuan Rumah (PBR) Berkelompok Desa E-Kasih di Kampung Londah, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi.
PBR terbabit yang bernilai RM3.25 juta mempunyai 50 unit rumah dan lengkap dengan kemudahan asas dibina pada Ogos tahun lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima bulan sebelum mula diduduki Mac lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, kerajaan akan membantu penerima bantuan perumahan dalam bidang pertanian melalui pelbagai program bantuan kementerian supaya mereka mendapat pendapatan stabil seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.
Pada majlis berkenaan, Mohd Shafie turut menyampaikan sijil dan dividen kepada 50 peserta Projek Ekonomi Lembu Fidlot di kawasan berkenaan.